Isnin, 7 Mei 2012

Pas sudah ada senarai calon PRU13

RAZIF ROSLI

Pas sudah ada senarai calon PRU13
Ketua Penerangan Pas Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man
 
IPOH – Pas hampir selesai menamakan semua calon sebagai persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) yang dijangka diadakan bila-bila masa.

Ketua Penerangan Pas Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, hampir setiap negeri sudah pun menyenaraikan calon pada PRU13 kelak.

Menurutnya, Majlis Syura Pas sudah pun meneliti senarai nama sementara keputusan individu dipilih menjadi calon hanya akan diputuskan di peringkat Majlis Syura berkenaan.

“Boleh dikatakan hampir selesai, lepas ini kita akan berbincang bersama Majlis Syura dalam masa terdekat dan selepas itu jawatankuasa Pusat akan putuskan.

“Pas sudah mengenal pasti calon berpotensi membawa suara rak­yat dalam menghadapi PRU13. Di dalam Dun ataupun Parlimen menghantar sekurang-kurangnya dua nama serta Majlis Syura telah setuju dengan nama-nama ini, malah senarai akan didedahkan bila Parlimen dibubarkan kelak,” katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Konvensyen Pas Perak Kali Ke-16, semalam.

Tuan Ibrahim berkata, Pakatan Rakyat (PR) secara keseluruhannya sudah 90 peratus siap menyenaraikan pembahagian kerusi pada PRU13.

“Setakat ini semuanya berjalan de­ngan lancar, cuma ada satu dua negeri yang masih dalam perbincangan akhir dan kita sedang berusaha ke arah itu secepat mungkin.

“Dari segi manifesto PR peringkat pusat, kita sudah pun menyiapkannya dan kita hanya tunggu untuk peringkat pelancaran dan di peringkat negeri pula kita mendapat maklumat sebahagian besar sudah pun menyiapkan, malah ada yang dah lancar pun seperti di Terengganu dan Negeri Sembilan.

“Kita akan lancar apabila Parlimen bubar kerana kebiasaannya Umno akan tiru manifesto kita seperti yang terjadi kepada Buku Jingga sebab mereka dah tiada idea, jadi biar kita tunggu dulu,” katanya.

Pada pilihan raya lalu, PKR meletakkan 94 calon dari parti itu dan memena­nginya sebanyak 31 kerusi. Manakala Pas memenangi 23 kerusi dan DAP menang 28 kerusi.

Tiada ulasan: