Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, PR akan melaksanakan perkara tersebut sekiranya dapat mengambil alih tampuk pemerintahan Kerajaan Pusat.
“Kalau kita menang Putrajaya maka masalah air seluruh negara akan selesaikan bukan sahaja di Selangor,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Seminar Pengurusan dan Penyelenggaraan Fasiliti 2012 di Hotel De Palma di sini semalam.
Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai kenyataan Koordinator Barisan Nasional (BN) Selangor, Datuk Seri Ir Mohd Zin Mohamed yang mendakwa masalah air akan diselesaikan sekiranya BN memerintah kembali Selangor.
Ketika ditanya pemberita mengenai dakwaan Mohd Zin bahawa kadar rizab air hanya tinggal 2.4 peratus berbanding kadar yang sepatutnya iaitu 20 peratus juga tidak tepat.
“Yang menjadi masalahnya juga, badan yang menguruskan air ini juga tidak betul.
“Sebab itulah antaranya kita melantik Suez (Environment) untuk memeriksa kesemua pelan rawatan air di Selangor,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Abdul Khalid mempersoalkan mengapa isu jambatan ketiga Klang yang sehingga kini tidak diteruskan selepas PR memenangi negeri ini walaupun sebelum itu majlis pecah tanah telah diadakan.
Beliau menegaskan sepatutnya tidak kira sama ada siapa menang atau kalah tetapi janji perlu ditunaikan.
“Kalau orang seperti ini kita nak percaya maknanya itu satu kesalahan besar pada rakyat kerana janji tidak ditunaikan.
“Patutnya tidak kira menang atau kalah mereka patut bertanggungjawab kepada rakyat negeri ini,” katanya.
Mengenai kenyataan Timbalan Pengerusi Umno negeri, Datuk Seri Noh Omar kelmarin yang mempertikai corak pentadbiran Kerajaan Negeri bagaikan syarikat korporat yang mementingkan keuntungan semata-mata tanpa memikirkan nasib rakyat, Abdul Khalid berkata, PR akan mentadbir Putrajaya sama seperti apa yang sedang dilakukan di negeri ini supaya perbelanjaan dapat digunakan dengan betul.
Katanya, dakwaan mengatakan kononnya Kerajaan Negeri tidak bersetuju dengan projek Loji Rawatan Air Langat 2 kerana tidak mendatangkan keuntungan wang ringgit adalah tidak benar kerana keuntungan itu adalah untuk rakyat.
“Dia patut faham perkataan untung adalah untuk rakyat dan bukannnya Kerajaan Negeri. Adakah dia menyebelahi korporat atau rakyat?
“Kalau dia menyebelahi korporat lebih baik jangan pergi pilihan raya dan rakyat tak payah pilih dia,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan