Jumaat, 25 Mei 2012

NGO batal protes 'Bersih 4.0' depan rumah Ambiga

Jamilah Hamzah
 
KUALA LUMPUR - Majlis Tindakan Peniaga-peniaga Kecil Kuala Lumpur membatalkan rancangan mereka untuk menjalankan perniagaan - sebagai tanda protes - di hadapan kediaman Pengerusi Bersama Bersih 2.0, Datuk S. Ambiga, petang ini dan esok.

Pengerusinya, Datuk Jamal Md Yusuf membatalkan niat tersebut kerana menghormati undang-undang dan  tugas penguat kuasa DBKL.

"Kami dengan ini mengambil keputusan membatalkan rancangan mengadakan pasar malam di sini pada hari ini dan esok 25 Mei.

"Kami hormati undang-undang dan penguat kuasa yang jalankan tugas untuk mengelakkan kekacauan seperti Bersih lalu dan akan mengadakan perhimpunan Bersih 4.0 cintakan keamanan pada 23 Jun di Stadium Bukit Jalil," kata Jamal lagi.

Jamal juga mempelawa Pengerusi Bersama Bersih 2.0, Datuk A. Samad Said menyertai perhimpunan tersebut dan turut akan menyerahkan kereta mewah yang dijanjikan kepada peserta bertuah.

Sehubungan itu, satu memorandum telah dihantar kepada Ambiga yang diwakili Samad supaya melunaskan tuntutan mereka.

Sebelum ini dalam kenyataan media, Majlis Tindakan Peniaga-peniaga Kecil Kuala Lumpur telah dan tetap merancang untuk mengadakan pasar malam di kediaman Ambiga walaupun tidak mendapat kebenaran oleh Datuk Bandar Kuala Lumpur.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komosioner Wan Abdul Bari Wan Abdul Khalid berkata, keadaan di kawasan tersebut terkawal mereka berhimpun secara aman dan bersurai secara aman.

"Keadaan di sini terkawal mereka tidak membuat kekacauan.

"Kami (polis) akan sentiasa pantau dan berada di mana-mana bila keadaan memerlukan kami," kata beliau lagi.

Bahari juga menyatakan ucapan terima kasih kepada penganjur 'Bersih 4.0' kerana mendengar nasihat.

Tiada ulasan: