Jumaat, 25 Mei 2012

Kem PLKN Tangkas Kendiri disita


 
KEM PLKN Tangkas Kendiri, Kuala Kangsar ditutup selepas dikenakan tindakan sita oleh Mahkamah Tinggi Taiping pada 22 Mei lalu. Gambar kecil, Abdul Hadi.
 

KUALA LUMPUR - Seramai 248 pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) dari Kem Tangkas Kendiri, Kuala Kangsar, Perak akan dipindahkan ke kem lain berikutan notis sita oleh Mahkamah Tinggi Taiping pada 22 Mei lalu.

Ketua Pengarah Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN), Datuk Abdul Hadi Awang Kechil berkata, pengusaha kem berkenaan diarah mengosongkan kem itu kerana gagal membayar hutang kepada sebuah syarikat pembekal.

"Syarikat itu meminta perintah mahkamah untuk menyita kem berkenaan berikutan pengusaha kem itu tidak dapat melunaskan hutang kepada syarikat berkenaan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis latihan koordinasi senaman tari sempena Himpunan Jutaan Belia di padang Zetro, Wangsa Maju di sini semalam.

Abdul Hadi menambah, kesemua pelatih akan dipindahkan ke kem yang paling hampir dengan kediaman masing-masing pada 28 Mei ini.

Beliau memberitahu, walaupun notis mahkamah itu diterima pada 22 Mei lalu, program di kem itu tidak terjejas kerana hanya peralatan dan kelengkapan kem yang disita.

Tiada ulasan: