Isnin, 14 Mei 2012

Isu akaun NFC: Bekas kerani bank dakwa ditekan


Seorang bekas kerani Public Bank mendakwa ditekan oleh bekas majikannya itu yang menjalankan siasatan ke atasnya berhubung dakwaan bahawa beliau membocorkan butiran akaun pengarah National Feedlot Corporation kepada PKR.

Johari Mohamad, mendakwa beliau disoal siasat oleh pegawai Public Bank dan Bank Negara selama lebih seminggu sebelum diberikan surat tunjuk sebab berhubung dakwaan tersebut.

NONEJohari (tengah) berkata beliau kemudiannya meletak jawatan pada 2 Mei lalu atas alasan tidak tahan dengan tindakan berkenaan.

"Saya telah melalui proses siasatan dalaman di Public Bank. Akibat tekanan di tempat kerja dan pelbagai tindakan yang diambil terhadap saya, saya telah membuat keputusan untuk berhenti kerja.

"Saya telah pun menyerahkan surat perletakan jawatan ekoran aduan yang dibuat oleh Datuk Seri Dr Mohamad Salleh Ismail," katanya.

Dalam notis perbicaraan dalaman itu, Johari didakwa mendedahkan maklumat dan dokumen antaranya berkaitan NFC, Mohamad Salleh serta National Meat and Livestock Coorporatian, kepada pihak ketiga.

Surat daripada majikannya itu, yang diterima pada 24 April lalu, mendakwa beliau "melanggar tatacara dan displin tempat kerja" berikutan satu aduan yang dibuat oleh Mohamad Salleh mengikut Akta Bank dan Institusi Kewangan (BAFIA) 1989.

Ketika ditanya, Johari bagaimanapun enggan menjelaskan sama ada beliau benar-benar mendedahkan maklumat perbankan itu kepada PKR.

"Saya tak tahu (I have no idea)," katanya dalam sidang media bersama naib presiden PKR N Surendran dan pengarah strategi parti itu Rafizi Ramli hari ini.

Johari turut ditanya sama beliau boleh mengakses maklumat dan dokumen bank seperti yang dinyatakan dalam notis perbicaraan dalaman tersebut.
"Saya (hanya) sebagai kerani bank, saya tak boleh akses lebih daripada itu," katanya yang berkhidmat 17 tahun di bank tersebut.

Jawapannya itu disambut Surendran yang berkata siasatan ke atas Johari masih berlangsung dan pihaknya tidak mahu menimbulkan prejudis ke atas perkara itu.

Difahamkan, Johari bersama peguam akan hadir ke Bank Negara petang ini untuk memberi keterangan lanjut.

Tiada ulasan: