Ahad, 13 Mei 2012

Isu air: Noh bidas MB S’gor

 
Beliau berkata, isu pokok adalah pembinaan loji Langat 2 yang enggan dilaksanakan kerajaan negeri. 




SHAH ALAM: Timbalan Pengerusi Umno Selangor, Datuk Seri Noh Omar  menyifatkan tindakan kerajaan negeri Selangor yang menyalahkan kerajaan persekutuan berhubung isu penstrukturan semula industri air sebagai tidak menghormati titah Tuanku Sultan.

Noh menasihati Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim agar tidak bermain politik dalam isu tersebut.

Beliau berkata, isu pokok adalah pembinaan loji Langat 2 yang enggan dilaksanakan kerajaan negeri.

Ini kerana dua isu membabitkan pembinaan loji dan penstrukturan semula adalah dua perkara berbeza, malah tidak dinafikan Selangor bakal menghadapi krisis air seperti yang dilaporkan sebelum ini.

“Isu penstrukturan air dengan penyediaan loji Langat 2 adalah dua benda berbeza. Malah tidak dinafikan Selangor akan menghadapi krisis air.

“Menteri Besar sengaja tidak mahu bekerjasama untuk pembinaan loji, sedangkan jika tidak bina bagaimana air hendak ada?

“Sedangkan isu penstrukturan air itu hal lain. Itu soal perniagaan, tidak kena mengena dengan penyediaan air. Ini Menteri Besar salahkan orang lain. Beliau patut akur dengan perjanjian yang dibuat untuk pastikan air cukup,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas perasmian program Himpunan Usahawan Mikro, Kecil dan Sederhana – Jom Niaga dan Skim Pengkomersialan Inovatif Patuh Shari’ah di Kompleks Karangkraf petang semalam.

Impak pelaburan dan peluang pekerjaan


Ujar beliau, kegagalan penyelesaian isu air menyebabkan 129 kilang di negeri ini tidak dapat beroperasi.
Ia sekaligus menyebabkan Selangor hilang nilai pelaburan sehingga RM3.8 bilion serta peluang pekerjaan kepada 12,000 penduduk.

“Patut 129 kilang yang telah diluluskan itu dah boleh mula beroperasi. Tapi tak dapat beroperasi kerana perlu ada jaminan air. Syarikat bekalan air tidak dapat beri jaminan.

“Selangor perlu ada sekurang-kurangnya 20 peratus simpanan air. Tapi kalau simpanan itu hanya 2.4 peratus bagaimana nak bekal air?

“Selangor akan hilang pelaburan RM3.8 bilion serta 12,000 peluang pekerjaan. Rakyat rugi kerana pelaburan tiada,” dakwa beliau.

Tegas Noh, penting untuk loji Langat 2 dibina sebelum perbincangan penstrukturan semula air dibincangkan.

Tiada ulasan: