Secara simbolik, sekumpulan 20 petugas mengagihkan aiskrim percuma sempena Kempen Aiskrim 1Malaysia.
SHAH ALAM: “Duduk, makan dan agih aiskrim percuma,” itulah gimik kempen yang diadakan di Dataran Shah Alam petang tadi dengan lebih 200 batang aiskrim pelbagai perisa dan jenama diedar kepada para pengunjung yang melalui kawasan berkenaan.
Dengan kira-kira 20 petugas yang turun untuk mengagihkan aiskrim tersebut, Pengerusi Kempen Aiskrim 1Malaysia, Rafi Awang Kecil berkata, tujuan ia diadakan bukan untuk menyindir Ahli Dewan Negeri (Adun) Bukit Antarabangsa Mohamed Azmin Ali.
Bagaimanapun, ia sekadar untuk memberi aiskrim percuma dan mahu ia dimakan di tempat terbuka dan bukannya di tandas.
Sambil berseloroh beliau berkata, “lepas makan jangan tak balik rumah”.
Katanya, kempen ini akan diteruskan di kawasan Dewan Negeri (Dun) Bukit Antarabangsa dan gimik ‘aiskrim percuma’ akan diadakan.
“Kita bagi aiskrim percuma, duduk dan agih sampai bersih. Tujuan nak beritahu agar makan aiskrim di tempat terbuka dan bukannya di tandas.
“Ini kempen 1.0, lepas ni 2.0 yang kita adakan di Dun Bukit Antarabangsa. Hari ini permulaannya. Tak kata ia simbolik kepada Azmin, tapi kalau makan aiskrim jangan sampai tak balik rumah,” katanya sambil berseloroh.
Azmin sebelum ini dikaitkan dengan video dan foto lucah yang menghias muka depan akhbar Utusan Malaysia pada minggu lalu
.
Namun dakwaan tersebut dinafikan Azmin dan mendapat sokongan daripada rakan-rakannya dalam PKR.
Pemberian aiskrim percuma itu turut mendapat sambutan baik para pengunjung, namun berlaku kesesakan lalu lintas di kawasan berkenaan sehingga dibantu seorang polis trafik.
Turut kelihatan kelibat Pengerusi Gagasan Anti Penyelewengan Selangor (Gaps) Hamidzun Khairuddin.
Tidak ketinggalan, rakan-rakan media yang membuat liputan juga menerima aiskrim pelbagai perisa secara percuma.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan