Khamis, 24 Mei 2012

DBKL tutup jalan menuju ke rumah Ambiga halang protes

Jamilah Hamzah

KUALA LUMPUR - Jalan Setiakasih 1, laluan menuju ke rumah Pengerusi Bersama Bersih 2.0, Datuk S. Ambiga ditutup mulai jam 12.30 tegah hari tadi.

Beberapa kun yang tertulis 'trafik warden DBKL' diletakkan hadapan simpang menghala ke rumah beliau bagi menghalang peserta 'Bersih 4.0' yang juga ahli Majlis Peniaga-peniaga Kecil Kuala Lumpur.

Peniaga-peniaga itu mahu mengadakan pasar malam mulai jam 4 petang ini.

Dalam pada itu, tinjauan Sinar Harian Online sejak 11 pagi tadi mendapati kawasan kediaman Ambiga kelihatan lengang dengan dikawal lebih 10 anggota penguat kuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sementara penganjur protes anti-Bersih mahu berhimpun petang ini.

Tinjauan Sinar Harian Online mendapati kawasan itu hanya dikawal oleh anggota polis dan DBKL.

Mengikut laporan media semalam, Penganjur 'Bersih 4.0' bertekad mahu mengadakan aktiviti niaga hari ini dan esok sebagai tanda protes di hadapan rumah Ambiga walaupun tidak mendapat kebenaran pihak berkuasa termasuk DBKL.

Pengerusi Majlis Tindakan Peniaga-peniaga Kecil Kuala Lumpur, Datuk Jamal Md Yunus berkata, mereka akan teruskan rancangan mengadakan pasar malam di jalan menuju ke rumah Ambiga dan akan berkumpul pada jam 4 petang bersama 60 peniaga yang telah bersetuju menyertainya.

"Kami akan turun pada pukul 4 petang ini seperti yang dirancangkan dan diuar-uarkan sebelum ini.

"Saya juga tahu pihak DBKL dan polis sudah mengawasi kawasan rumah Ambiga sejak beberapa hari lalu," kata Jamal kepada Sinar Harian Online ketika dihubungi pagi ini.

Dalam pada itu, 60 tapak gerai, yang disediakan oleh majlis tersebut awal minggu ini menggunakan cat kuning, telah dipadamkan oleh DBKL.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar membuat laporan polis mendakwa beliau ada mendengar pihak-pihak tertentu mahu membuat kekacauan di kawasan rumah Ambiga.

Beliau yang juga Naib Presiden PKR meminta pihak polis mengambil tindakan sewajarnya.

Tiada ulasan: