Selasa, 15 Mei 2012

Calon PRU13 S’wak diserah pada PM

 
Ketua Menteri Sarawak sudah menyerahkan senarai calon kepada Perdana Menteri dan terserah kepada beliau untuk menentukan siapa yang layak.




KUCHING: Barisan Nasional (BN) Negeri mengesah sudah menghantar semua senarai bakal calon untuk Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) kepada Perdana Menteri baru-baru ini, demikian kata Pengerusinya Tan Sri Abdul Taib Mahmud.

“Senarai itu saya sudah berikan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak tetapi saya tidak akan memberitahu lanjut kerana terpulang kepada beliau untuk menentukan (siapa yang layak),” kata Taib selepas mesyuarat persediaan Persidangan Dewan Undangan

Negeri serta Majlis Kerja Tertinggi (MKT) di Ibu Pejabat Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) di sini hari ini.

Menurut beliau, menjelang pilihan raya semua parti sudah menyatakan kesediaan namun wujud sedikit kebimbangan berhubung pertukaran kerusi Parlimen di antara parti komponen BN.

“Untuk keseluruhan kita bersedia dan mereka (parti) nampaknya juga sudah menunggu masa untuk melakukan tindakan tetapi terpulanglah kepada Perdana Menteri menentukan tarikh sebenar (pilihan raya).

“Bagaimanapun ada sedikit kebimbangan dalam pertukaran kerusi Parlimen kelak, namun ianya sihat. Kita dapat lihat di padang semua orang mahu bekerja dengan BN dan ini bukan sahaja mengenai ahli politik dan parti berseorangan. Ia kini lebih kepada fakta mereka mahukan BN semula,” jelasnya.

Ketua Menteri, pada 17 April lepas memberitahu akan ada beberapa muka baru dan calon wanita diketengahkan bagi pilihan raya umum ini tetapi beliau tidak mahu mengulas lanjut butiran siapa yang dicadangkan itu.

Tiada ulasan: