Rabu, 23 Mei 2012

BN terdesak dapatkan undi Melayu dengan sebar sentimen perkauman, kata Guan Eng

 
 
KUALA LUMPUR, — Kerajaan Barisan Nasional (BN) yang dikuasai Umno jelas berada dalam keadaan terdesak sehingga sanggup memainkan sentimen perkauman dan fitnah jahat terhadap Pakatan Rakyat (PR), kata Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng.

Lim yang juga Setiausaha Agung DAP berkata, kerajaan pimpinan Umno ghairah untuk meraih undi sehingga mencipta fitnah yang menggambarkan seolah-oleh kerajaan DAP di Pulau Pinang mempunyai niat halus untuk mengusir masyarakat Melayu dari Pulau Mutiara tersebut.

“Keghairan BN dan Umno mahu mendapat undi Melayu telah menyebabkan mereka berkali-kali memainkan sentimen perkauman dengan fitnah jahat bahawa kerajaan negeri PR mahu meminggirkan atau mengusir Melayu,” kata Lim dalam satu kenyataan hari ini.

Jelas Lim, mesyuarat exco kerajaan yang bermesyuarat hari ini turut menolak keras cubaan menggunakan sentimen tersebut dan menyifatkannya sebagai “akan menjejaskan hubungan baik dan harmoni di kalangan rakyat majmuk Malaysia”.

“Umno mempunyai agenda dengan menyebarkan fitnah mengatakan kerajaan negeri mempunyai agenda tersembunyi dan dikatakan mengusir keluar orang Melayu daripada Pulau Pinang dengan penduduk Melayu Pulau Pinang berkurangan sebanyak 18,000 orang dalam tahun 2010 dan tidak menjalankan projek perumahan mampu milik.

“Berdasarkan daftar pemilih pada 2011 menunjukkan tambahan pengundi Melayu sebanyak 34,931 orang berbanding dengan pilihan raya umum pada 2008,” tegasnya.

Selain itu, Lim menambah, sejak mengambil alih Pulau Pinang pada 2008, kerajaan pimpinannya telah membina 11,596 rumah kos rendah dan sederhana rendah termasuk projek dengan pemaju swasta.

Selain itu, kerajaan DAP juga tambahnya telah memperuntukkan 277 ekar tanah untuk membina 18,000 unit rumah mampu milik di semua lima daerah di Pulau Pinang, termasuk Seberang Perai Selatan, Seberang Perai Tengah, Seberang Perai Utara, Daerah Timur Laut, dan Daerah Barat Daya bagi membolehkan masyarakat Melayu memiliki rumah.

Menjelaskan mengenai kadar kenaikan harga tanah yang didakwa berpunca daripada kadar premium yang dikenakan DAP di Pulau Pinang, Lim menegaskan, “Sesebuah kerajaan tidak boleh mempengaruhi harga hartanah naik atau turun kerana ia ditentukan oleh permintaan pasaran dan keyakinan orang ramai.”

“Kerajaan negeri tidak pernah menaikkan peratusan kadar premium tanah, sebaliknya ia masih dikekalkan pada tahap kadar peratusan yang sama dengan kerajaan lama,” tambahnya lagi.

Tiada ulasan: