KUALA LUMPUR - Polis telah mengenal pasti 49 orang termasuk seorang
wanita, yang dipercayai terbabit dalam kejadian merusuh semasa
perhimpunan Bersih 3.0 bertukar ganas dekat Dataran Merdeka, Sabtu lalu.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohmad Salleh berkata, kesemua mereka
yang kini menjadi buruan polis dipercayai bertindak ganas seperti
memukul polis dan orang awam serta merosakkan harta benda ketika
perhimpunan itu.
Beliau berkata, polis sudah mengenal
pasti alamat sebahagian mereka, memapar gambar mereka di akhbar dan
meminta mereka hadir secepat mungkin di balai polis berhampiran bagi
membantu siasatan.
Jika mereka enggan, katanya, polis akan bertindak, termasuklah mengesan mereka di rumah.
Bagaimanapun, beliau tidak memberi tempoh untuk mereka tampil memberi kerjasama.
Mereka boleh hubungi pegawai Jabatan Siasatan Jenayah dan Kongsi Gelap Kuala Lumpur, Asisten Superintendan Azmi Aziz di talian 019-2602344 atau 019-3872344.
Maklumat juga boleh disalurkan menerusi emel, azmiaziz@rmp.gov.my.
Dua hari lepas polis menahan seorang lelaki di Seremban, Negeri Sembilan kerana perbuatan sama. Dia didakwa hari ini.
Dalam perkembangan sama, Mohmad
mengesahkan menerima 258 laporan polis daripada pelbagai pihak,
antaranya peguam, wartawan, orang awam, peserta perhimpunan, peniaga dan
anggota polis.
Beliau berkata, pihaknya sedang meneliti
semua laporan itu untuk diambil tindakan berdasarkan peruntukan
undang-undang negara ini.
“Kita bagi jaminan untuk siasat dengan adil semua laporan itu dan jika perlu tangkap baru kita akan tangkap,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan