Isnin, 14 Mei 2012

Bekas askar lumpuh rayu dibayar pencen

MALAYSIA KINI
Bekas anggota tentera Mokhtar Saari, 54, yang ditamatkan perkhidmatan 10 tahun lepas kerana menghidap sakit buah pinggang merayu kepada Kementerian Pertahanan agar pencennya dibayar.
  
Beliau yang juga mengalami reput tulang daripada pangkal paha sejak lima tahun lepas, berkata perkhidmatannya sebagai Askar Wataniah (AW) hanya selama 19 tahun iaitu kurang dua tahun untuk melayakkan beliau menerima pencen.
  
"Semasa bertugas dengan pasukan 503 AW di Ipoh, saya diberikan tugas ringan lebih setahun kerana mengalami sakit buah pinggang dan disebabkan sering  mendapatkan rawatan kesihatan, perkhidmatan saya sebagai prebet ditamatkan pada 1992.
  
"Doktor yang merawat memperakui saya tidak sihat untuk meneruskan khidmat namun Lembaga Majlis Angkatan Tentera tidak memperakui laporan perubatan yang dikemukakan menyebabkan saya tidak dibayar pencen," katanya dalam nada pilu semasa menceritakan nasibnya kepada Naib Ketua Umno Bahagian Kuala Kedah, Datuk Abdul Mutholib Harun, yang mengunjungi beliau, hari ini.
  
Turut hadir Ketua Persatuan Bekas Tentera Malaysia (PBTM) Bahagian Kuala Kedah, Che Fadzil Ahmad.

Beliau yang tinggal bersama isteri, Raudzoh Said, 54, serta seorang anak terencat akal berumur 25 tahun di nombor 559, Taman Seri Abadi, Jalan Kuala Kedah di sini, sedih kerana rayuannya untuk mendapatkan pencen ditolak oleh Kementerian Pertahanan.
  
Raudzoh berkata suaminya perlu mendapatkan rawatan buah pinggang dan pemeriksaan tulang tiga kali seminggu di Hospital Sultanah Bahiyah dan kos perbelanjaan ubat-ubatan antara RM100 dan RM200 setiap bulan.
  
Katanya disebabkan kesempitan wang, mereka terpaksa menjual tanah milik suaminya lima tahun lepas dan memperoleh RM60,000 yang digunakan bagi membayar rumah yang dibeli serta kos rawatan suaminya.
  
"Persatuan Bekas Tentera Malaysia menyumbang RM100 sebulan. Saya terpaksa mengambil upah menjahit baju bagi menampung perbelanjaan. Bantuan lain tidak dapat. Cukai pintu dan tanah rumah ini berjumlah RM2,400 masih tidak dapat dibayar.
  
"Saya dan suami sangat berterima kasih dikunjungi Datuk Abdul Mutholib yang menghulurkan bantuan dan berdoa kepada rakyat Malaysia yang dikenali sebagai pemurah supaya sudi memberikan sumbangan atau bantuan," kata Raudzoh.
  
Sumbangan boleh disalurkan ke dalam akaun Mokhtar Saari di Bank Simpanan Nasional di nombor 02110-29-00009461-5 atau hubungi 04-7714152.
  
Abdul Mutholib berkata beliau akan mengemukakan kes Mokhtar kepada Kementerian Pertahanan serta membantu beliau mendapatkan bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat.
  
"Ini merupakan program kunjungan mesra Umno Kuala Kedah atas arahan Ketua Bahagian (Datuk Latt Shariman Abdullah) bersama badan-badan bukan kerajaan (NGO) untuk mengesan bekas-bekas tentera yang hidup dalam keuzuran atau menghadapi masalah.
  
"Nasib bekas pejuang negara sewajarnya dibela dan tidak boleh disisihkan setelah khidmat mereka tidak diperlukan lagi. Umno Kuala Kedah akan terus menjejaki beberapa lagi bekas anggota tentera dalam bahagian Kuala Kedah yang perlu dibela," kata Abdul Mutholib.
  
Dalam kunjungan itu, beliau menyampaikan sumbangan berupa wang dan beras kepada keluarga Mokhtar.- Bernama

Tiada ulasan: