Isnin, 21 Mei 2012

ANAK mahu Bank Negara tarik balik borang pinjaman

Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (ANAK) akan mendesak Bank Negara Malaysia (BNM) supaya memberi perhatian serius kepada isu melibatkan borang pinjaman kepada peneroka untuk membeli saham Felda Global Ventures Holdings (FGVH).

NONEPresiden ANAK, Mazlan Aliman (kiri) berkata borang yang dikeluarkan itu dalam bahasa Inggeris dan sukar difahami peneroka.

"Kita mohon perhatian serius supaya borang-borang yang dikeluarkan oleh tujuh bank tersebut dapat ditarik balik serta merta," katanya yang akan bertemu dengan wakil Bank Negara pada Rabu ini.

Mazlan yang juga ahli jawatankuasa PAS Pusat berkata antara perkara yang akan dibangkitkan dalam pertemuan itu nanti adalah berkaitan proses pemberian borang pinjaman oleh bank kepada peneroka untuk pembelian saham FGVH.

ANAK pada 10 Mei lalu menyerahkan bantahan oleh 154 penerika dari Pahang dan Johor yang mendakwa ditipu untuk menandatangani borang pinjaman bagi membeli saham tersebut.

Peneroka itu mendakwa diperdaya pengurus Felda supaya menandatangani borang tersebut, yang tidak dibenarkan untuk dibawa pulang ke rumah.

Jadual pinjaman semula dan jumlah pinjaman berkenaan juga didakwa tidak dicatat dalam borang tersebut.

NONETambahnya, prospektus untuk penyenaraian itu masih belum diluluskan oleh Suruhanjaya Sekuriti, namun "sudah ada tangan-tangan ghaib" yang didakwanya cuba mempengaruhi keputusan suruhanjaya tersebut.

Mazlan turut memberi amaran kepada kerajaan supaya tidak campurtangan dengan apa sahaja pertimbangan dan keputusan yang dibuat BNM dan Suruhanjaya Sekuriti dalam meluluskan cadangan penyenaraian itu.

"Saya harap biarlah Suruhanjaya Sekuriti mempertimbangkan secara profesional, berdasarkan bukti-bukti dan hujah yang kita kemukakan," katanya.

Tambahnya, ANAK tidak teragak-agak untuk mengheret Suruhanjaya Sekuriti ke mahkamah sekiranya badan itu didapati "dipaksa mengikut telunjuk perdana menteri."

Turut hadir dalam sidang media itu bekas pegawai kanan BNM Dr Rosli Yaacob yang juga pakar ekonomi ANAK dan Pengerusi Badan Bertindak Peserta Felcra Kebangsaan (BAPA) Razman Zakaria.

Tiada ulasan: