Beliau berharap para golongan muda negara dapat mencorakkan bandar Putrajaya dengan kreativiti mereka sendiri sepanjangan perhimpunan kali ini.
Perhimpunan golongan muda di Putrajaya akan semakin ketara mulai petang ini dengan hampir 10,000 anggota pengakap dan persatuan uniform yang lain yang akan berkhemah di sini, katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Beliau juga berkata beberapa aktiviti sukan yang menarik turut diadakan seperti Futsal, yang dijangka menarik 15,000 orang serta aksi penunggang motorcross dunia dari Jepun.
"Adalah sangat penting kehadiran orang ramai ke sini untuk melihat kelebihan golongan belia kita, kreativiti mereka yang terlalu luas, kehebatan mereka yang perlu kita berikan penghargaan," katanya.
Sementara itu, pelajar Tingkatan Lima, Raiza Azleen Zailani berkata apa yang dilakukan oleh kerajaan itu adalah tepat pada masanya kerana dapat menghalang remaja dari membuang masa mereka melakukan perkara tidak berfaedah.
Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Puchong Utama (1) itu berkata banyak acara menarik diadakan pada perhimpunan kali ini bertepatan dengan minat semasa remaja masa kini, seperti sukan ekstrem motocross, pertunjukkan basikal ‘BMX Flatland’, Futsal, dan Pitball.
Salah seorang peserta dalam pertunjukkan basikal ‘BMX Flatland’, Abdul Shukor Sulaiman berkata beliau dan pasukannya akan memberikan aksi terbaik pada acara BMX Flatland yang akan diadakan pada Sabtu nanti.
"Memang baguslah kerajaan nak anjur acara sebegini sebab beri peluang kepada remaja berkumpul dan melihat dunia mereka, kreativiti mereka dan memberi peluang kepada pasukan kami untuk mempromosi pertunjukkan BMX Flatland ini kepada belia yang hadir,” katanya.- Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan