Khamis, 17 Mei 2012

19 Jun untuk dengar permohonan batal pembelaan Nalla

MALAYSIA KINI

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini menetapkan 19 Jun untuk mendengar permohonan Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk membatalkan pernyataan pembelaan Presiden Parti Bersatu India Malaysia (MUIP)Datuk S.Nallakaruppan berhubung saman fitnah yang mengaitkan Anwar dengan penerimaan wang RM60 juta.

Timbalan Pendaftar Fatimah Rubi'ah Ali menetapkan tarikh tersebut di dalam kamar dengan dihadiri peguam Latheefa Koya yang mewakili Anwar dan peguam Nurul Nabila Zamri (bagi pihak peguam Datuk Seri Muhammad Shafee Abdullah) mewakili Nallakaruppan.

Latheefa memberitahu pemberita bahawa pada tarikh itu, kes saman tersebut akan didengar di hadapan Hakim Datuk Su Geok Yiam.

Latheefa berkata Anwar membuat permohonan membatalkan pernyataan pembelaan Nallakaruppan kerana mendakwa ia remeh, penafian semata-mata dan menyalah guna proses mahkamah.

Anwar yang juga Ketua Pembangkang memfailkan saman itu pada 25 Ogos 2008 berhubung artikel bertajuk 'Anwar terima RM60 juta' yang disiarkan akhbar Mingguan Malaysia dan Sinar Harian sekitar Ogos 2008, kerana mendakwa Nallakarupan bercakap sesuatu yang tidak benar mengenainya (Anwar).

Dalam pernyataan pembelaannya pula, Nallakaruppan berkata beliau tidak berniat jahat ketika mengeluarkan kenyataan itu dan berada dalam perlindungan bersyarat.- Bernama

Tiada ulasan: