Sabtu, 19 Mei 2012

14 Pelajar Putra Perdana Terima RM1,000 Hadiah Masuk Universiti






SHAH ALAM: Gembira serta terharu. Demikian reaksi Azhani Abd Ghafar, 18, apabila menerima Hadiah Institut Pengajian Tinggi(IPT)  berjumlah RM1,000 dari Kerajaan Negeri Selangor.

Menurut Azhani yang bakal melanjutkan pelajaran di Universiti Institut Teknologi Mara (UiTM) Machang, Kelantan, berkata wang tersebut banyak membantu meringankan beban ibu dan abangnya.

“Bagi saya ia banyak membantu sebab saya ambil jurusan Art and Design memang banyak menggunakan wang,” ujar Azhani kepada TVS dalam Majlis Penerangan Geran Selangorku dan Jamuan Bersama Rakyat malam tadi.

Menurut Azhani, pada masa ini beliau menetap dengan ibunya yang merupakan seorang surirumah dan abangnya selepas kematian bapanya.

Manakala bagi Ivan Chong,18, yang melanjutkan pelajaran di Segi College di Subang Jaya pula, bantuan RM1,000 yang diterimanya akan digunakan untuk membeli buku-buku pengajian beliau.

“RM1,000 yang saya dapat ini memang banyak membantu. Saya dapat membeli buku-buku pelajaran saya sebab harga buku sekarang memang mahal,” kata beliau ketika ditemui.

Selain itu, sumbangan kerajaan negeri turut menjadi pendorong kepada beliau untuk belajar lebih bersungguh-sungguh lagi.

Sementara itu bagi Mohammad Ariffin yang melanjutkan pelajaran ke Kolej Universiti Islam Antarabangsa, hadiah RM1,000 dari kerajaan negeri  dapat meringankan beban beliau untuk menjelaskan yuran pengajian dan membeli buku-buku rujukan.

Terdahulu, Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim telah menyerahkan cek-cek hadiah tersebut kepada 14 pelajar yang berjaya melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi

Selain itu, TVS juga telah difahamkan kira-kira lebih 30 orang pelajar di sekitar Taman Putra Perdana turut menerima sumbangan yang sama dari kerajaan negeri.

Hadiah tersebut adalah peruntukan daripada skim Hadiah Anak Masuk Universiti dan merupakan salah satu dari program Merakyatkan Ekonomi Selangor(MES) yang dijalankan oleh kerajaan negeri Pakatan Rakyat.

Tiada ulasan: