Khamis, 8 Disember 2011

Syabas tarik balik saman

"Ini menunjukkan pertikaian kita terhadap Tabung Budi adalah betul selama ini," kata Menteri Besar Selangor.



PETALING JAYA: Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas) menarik balik saman terhadap Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang mempertikaikan Tabung Budi, yang kononnya skim kebajikan untuk membantu keluarga miskin membayar tunggakan bil air.

Syarikat bekalan air itu mengambil keputusan menarik balik saman ini pada Isnin lalu, selepas perbicaraan berjalan selama dua hari (25 November 2011 dan 5 Disember 2011) dimana empat saksi Syabas telah memberi keterangan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

“Ini menunjukkan pertikaian kita terhadap Tabung Budi adalah betul selama ini. Saya menyeru kepada Syabas supaya menghentikan operasi tabung tersebut kerana perbuatan mereka adalah salah dan tidak beretika,” kata Menteri Besar ketika mengulas keputusan itu.

Tabung Budi dilancarkan pada Ogos 2010 untuk membolehkan rakyat Selangor yang enggan menerima air percuma, memulangkan semula bayaran yang telah dibuat kerajaan negeri sebanyak RM11.40 kepada Syabas.

Sementara itu, punca kekeruhan Sungai Selangor sehingga menggangu operasi empat loji pembersihan air adalah disebabkan oleh runtuhan tebing sungai di beberapa tempat sepanjang anak Sungai Kerling.

Menurut satu kenyataan media semalam, siasatan Lembaga Urus Air Selangor (Luas) mengesan kejadian runtuhan tebing berlaku kira-kira 2km dari Stesen Janakuasa Mini Hidro Sungai Kerling berhampiran sempadan Selangor-Pahang.

Runtuhan ini dipercayai terjadi secara semulajadi akibat hujan lebat kerana tiada aktiviti luar biasa dikesan di kawasan tersebut. Luas dan agensi serta jabatan lain yang terlibat akan terus memantau runtuhan untuk mengelak kejadian lebih teruk.

Tiada ulasan: