Sabtu, 10 Disember 2011

Rumah baru anak yatim Kg Chicha siap dibina

Harakahdaily


KUBANG KERIAN: Anak-anak yatim Kg Chicha yang kediaman mereka musnah dalam kebakaran awal Ogos lalu kini terbela apabila rumah baru mereka siap dibina sepenuhnya.

Melalui sumbangan orang ramai yang diusahakan oleh ahli parlimen mereka, akhirnya tempat berteduh untuk lima beranak itu kini sudah berganti baru.

Ahli parlimennya, Salahudin Ayub berkata, beliau mengucap syukur kepada Allah SWT kerana hasrat anak-anak yatim Kg Chicha untuk mendapat rumah kediaman baru telah menjadi satu kenyataan.

"Sejak berita kebakaran rumah anak-anak yatim Kg Chicha disiarkan dua bulan yang lalu, ramai penderma telah memberikan sumbangan untuk mendirikan rumah baru mereka.

"Saya sebagai ahli parlimen Kubang Kerian telah sedaya upaya membantu anak-anak yatim ini dan kesempatan hari ini bagi pihak keluarga anak-anak yatim Kg Chicha saya dengan rendah diri mengucapkan jutaan terima kasih pada semua penderma yang telah begitu perihatin untuk membantu anak-anak yatim yang malang ini," katanya kepada Harakahdaily.

"Semoga Allah SWT sahaja mampu membalas segala kebaikan anda semua," tambahnya terharu.

Ogos lalu, Harakahdaily ada melaporkan nasib anak-anak yatim tersebut yang bagai jatuh ditimpa tangga apabila kediaman mereka pula musnah selepas ibu bapa mereka meninggal dunia setahun lalu.

Mereka sebelum ini terpaksa tinggal sehelai sepinggang akibat kebakaran itu.

Namun dengan sumbangan oleh pelbagai pihak, kediaman mereka kini barjaya disiapkan sepenuhnya.

Tiada ulasan: