Jumaat, 9 Disember 2011

Pengerusi MIC Batu Dedahkan Shahrizat Salah Guna Dana Rakyat Untuk Kepentingan BN

Oleh Kamaruzaman Mohamad


Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan (DPPWP) memandang serius pendedahan pengerusi MIC bahagian Batu, Ramanathan Chinnu di akhbar The Star semalam berhubung tindakan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat menyerahkan dana RM 2 juta kepada penyelaras BN bagi setiap kawasan Parlimen yang dimenangi Pakatan Rakyat.

Ini adalah satu penyelewengan yang nyata oleh Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil sebagai Menteri yang bertanggungjawab kerana dana berkenaan seharusnya diserahkan oleh pegawai Kerajaan dari Kementeriannya terus kepada rakyat bukan melalui penyelaras BN.

Barisan Nasional telah kalah 9 kerusi Parlimen di Wilayah Persekutuan kepada Pakatan Rakyat dalam Pilihanraya lepas, dan mereka sewajarnya akur dengan keputusan rakyat. Sesiapa pun yang memerintah diperingkat Persekutuan wajib menghormati Pilihan rakyat ini. Shahrizat antara pemimpin BN yang kalah dalam pilihanraya lalu tidak boleh sewenang-wenangnya mengambil wang rakyat untuk kegunaan BN. Apalagi jika tujuannya adalah atas kepentingan politik. Sepatutnya dana itu diberikan kepada ahli parlimen yang menang untuk diagihkan kepada rakyat, bukan kepada orang-orang yang sudah kalah dan ditolak rakyat.

Jika dalam Perhimpunan Agung Umno yang lepas Shahrizat mengatakan isu National Feedlot Centre (NFC) tiada kaitan dengannya, kali ini MIC Batu mengesahkan isu terbaru ini memang ada kaitan dengan beliau.

DPPWP mahu Shahrizat menjawab, bagaimana penyelaras BN Parlimen Batu, Yahaya Mat Ghani mendapat kuasa untuk menguruskan dana RM 2 juta bagi parlimen itu. Adakah beliau kakitangan Kementerian? Ke manakah RM 2 juta itu dibelanjakan? Diharap Shahrizat boleh kemukakan segala resit dan bukti agihan yang dibuat atas nama kementeriannya atau berdepan dengan tindakan undang-undang oleh Pakatan Rakyat.

Kamaruzaman Mohamad
Ketua
Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan

Tiada ulasan: