Khamis, 22 Disember 2011

Kementerian cadang guna parabola di Sabah dan Sarawak

malaysiadaily


http://www.niagaria.com/pics/2011/02/13/159/parabola_1.jpgKementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan sedang menyediakan kertas kerja mengenai cadangan penggunaan cakera parabola di kalangan individu terutama di Sabah dan Sarawak.

Ketua Setiausaha KPKK Datuk Seri Kamaruddin Siaraf, berkata kementerian itu bersama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) akan mengambil kira pandangan semua pihak berhubung isu itu sebelum dikemukakan kepada Kabinet untuk memutuskannya.

“Kita akan menilai perkara itu daripada semua aspek termasuk sama ada terdapat kewajaran memberi kebebasan menggunakan careka parabola di kalangan individu atau sebaliknya.

“Ini termasuklah aspek budaya kita. Kita perlu memikirkan anak-anak kita…ada yang tidak perlu ditonton dan sebagainya kerana kita ingin membangunkan masyarakat Malaysia yang menekankan nilai budaya yang baik…jadi terpulanglah kepada kabinet untuk memberi kebebasan atau tidak (untuk menggunakan cakera parabola),” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menghadiri Majlis Penyerahan Projek Pembinaan Kompleks Bersepadu Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, di Jalan Lintas Kepayan, di sini, kelmarin.

Kamaruddin berkata demikian ketika ditanya mengenai kenyataan Timbalan Ketua Menteri Datuk Dr Yee Moh Chai Sabtu lepas, bahawa 99 peratus penduduk Sabah mahukan kebebasan dalam akses maklumat khasnya menerusi khidmat satelit.

Yee yang juga Menteri Pembangunan Sumber dan Teknologi Maklumat dipetik sebagai berkata peratus itu diperoleh menerusi pungutan pendapat yang dijalankan melalui talian Internet.

Sehubungan itu, Yee mahu undang-undang berkaitan kawalan pengedaran khidmat satelit dipinda mengikut keperluan dan mengikut keadaan di Sabah dan Sarawak.

Kamaruddin berkata kementerian itu menyedari cadangan berkenaan dan mengambil tindakan sewajarnya.

Bagaimanapun katanya, sehingga kabinet Persekutuan membuat keputusan berhubung perkara itu, undang-undang sedia ada berkaitan penggunaan careka parabola masih terpakai.

Katanya, mengikut undang-undang sedia ada, mana-mana pihak yang mahu menggunakan atau memasang satelit parabola perlu mendapatkan lesen.

“Dalam keadaan tertentu, kekecualian diberikan kepada pengguna parabola di kawasan pedalaman Sabah dan Sarawak.

“Saya yakin dengan adanya perkhidmatan digital siaran TV yang mantap, akses siaran (connectivity) akan bertambah baik termasuk di Sabah dan Sarawak,” katanya. -NST

1 ulasan:

gigolo berkata...

itu semua bodek orang sabah.kalau nak haram .haram semua sekali la