Khamis, 15 Disember 2011

Everbright International Sedia Tarik Pelabur China Ke Selangor

Oleh Afix Redzuan


SHAH ALAM: Selangor terus menjadi destinasi pilihan pelabur luar dan kali ini China Everbright International (Everbright) bersedia menjadi pelabur terbaru mengenai pelan kerjasama dengan I-Berhad untuk pembangunan di I-City.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menjelaskan, memandangkan I-City sebagai pusat tarikan pelancongan, syarikat ini boleh membantu Tourism Selangor mengadakan jaringan hubungan dengan pelbagai pertubuhan pelancongan China.

"Salah satu rancangan Everbright di I-City ialah membangunkan Pusat Perniagaan China yang mampu menjadi pintu masuk pelaburan kepada syarikat-syarikat China untuk melabur di Selangor.

"Dengan kedudukan Everbright di China, kumpulan ini mampu membantu Pusat Pelaburan Negeri Selangor (SSIC) mengadakan seminar pelaburan di China," katanya.

Peluang-peluang kerjasama dengan Kerajaan Negeri antaranya mewujudkan jaringan hubungan dengan Universiti Selangor (UNISEL) dan bekerjasama menubuhkan Conficius Institute di I-City yang sama seperti ditubuhkan dengan institut dan universiti di Dubai dan Turki.

Selain itu, pembangunan Pusat Animasi di I-City pula akan menyediakan peluang kerjasama dengan Program Pembangunan Usahawan di bawah payung PKNS-Plug N Play.

Pengerusi Everbright International, Zhang Huaipu berkata, pengalaman Menteri Besar yang arif dengan suasana perniagaan di China dan telah melawat negara itu sejak tahun 90-an ketika bersama PNB mengukuhkan lagi kedudukan yang terjalin untuk meneroka pasaran China bagi menarik pelaburan ke Selangor.

Zhang Huaipu juga memaklumkan kepada Menteri Besar bahawa Mr Bo Xilai, yang telah melawat Malaysia pada 1993 atas jemputan Menteri Besar bersempena Seminar Pelaburan China PNB kini memegang jawatan Setiausaha Jawatankuasa Parti Komunis di Chongqing yang bertanggungjawab terhadap Perbandaran Pendalaman China Barat.

Chongqing terletak di Barat Daya China dan merupakan satu daripada empat perbandaran yang dikawal secara langsung (yang lain ialah Beijing, Shanghai dan Tianjin) di China.

"Selangor perlu meneroka "guanxi" di antara mereka berdua kerana Mr Bo juga adalah bekas Menteri Perdagangan," katanya Zhang Huaipu.

Everbright berpengalaman dalam projek di Moscow, Sudan dan Ghana dan sebagai perbandingan, pelaburan mereka di I-City dianggap kecil untuk projek kelas sederhana berdasarkan portfolio kumpulan itu.

Everbright berharap I-City menjadi projek pembangunan pasang siap (turnkey) pertama di Malaysia dan berharap kerjasama ini menjadi landasan untuk projek pembangunan pasang siap lain di Selangor .

Mengenai kerjasama strategik dengan I-Berhad, Zhang Huaipu menjelaskan, memandangkan I-Berhad adalah anggota konsortium untuk Program Pemuliharaan Sungai Klang, beliau berharap Everbright International juga dapat menjadi sebahagian daripada program itu.

Tiada ulasan: