Sabtu, 12 November 2011

Terengganu seleweng RM30 juta bantuan persekolahan?

Aziz Muda


KUALA LUMPUR: Pemimpin-pemimpin Kerajaan Terengganu di bawah pimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said, didakwa telah melakukan penyelewengan terhadap bantuan persekolahan untuk golongan miskin bernilai hampir RM30 juta.

Penyelewengan tersebut terbongkar menerusi Laporan Ketua Audit Negara 2010 berkaitan 'Program Bantuan Pakaian dan Alatan Sekolah' negeri Terengganu yang telah dibentangkan kepada Jawatankuasa Kira-Kira Awam Negara (PAC) yang ternyata amat mengejutkan serta memalukan seluruh rakyat Terengganu.

Penolong Setiausaha Agung PAS Pusat, Dr Syed Azman Syed Ahmad berkata, laporan yang telah dibentangkan di Parlimen itu telah mendedahkan bahawa semakan audit mendapati proses rundingan harga kontrak terbabit tidak memenuhi garis panduan.

Menurut beliau, selain itu didapati tidak ada kontrak formal ditandatangani antara kerajaan negeri Terengganu dengan syarikat pembekal pakaian dan alatan sekolah untuk tahun 2008 hingga 2010.

Katanya, laporan audit itu juga telah mengenalpasti sekurang-kurangnya enam teguran dan kesilapan asas dalam pengendalian projek tersebut.

"Kesilapan pertama, kajian pasaran tidak dijalankan. Kedua, bon perlaksanaan tidak dikeluarkan. Ketiga, pemeriksaan terhadap barangan yang diterima tidak dijalankan. Keempat, kelewatan agihan. Kelima, bantuan tidak diagih ke semua daerah. Keenam, keluarga yang menerima bantuan tidak memenuhi syarat," katanya ketika ditemui Harakahdaily, di sini, hari ini.

Kronologi penyelewengan itu, menurut beliau, bermula pada 30 November 2008, apabila Ahmad Said telah bersetuju meluluskan permohonan membekalkan 'Pakaian Seragam Sekolah Bagi Seluruh Negeri Terengganu' kepada syarikat Hamie Enterprise dengan jenama “GANU KITA”.

Katanya, projek yang bernilai hampir RM10 juta setiap tahun itu juga telah mendapat kebenaran Menteri Besar agar dikecualikan daripada proses tender dengan harga RM150 satu set, bagi diagihkan kepada 53,300 orang pelajar sekolah rendah yang telah dikenal pasti oleh Unit Perancang Ekonomi Negeri (Upen) melalui kaji selidik yang telah dibuat.

"Pada 13 Disember 2008 bermulalah penghantaran pertama ‘Pakaian Seragam Sekolah Rendah’ sebanyak 15,000 set dan seterusnya telah dihantar ke alamat ‘Perkarangan Kediaman Menteri Besar, Jalan Sultan Mahmud, Kuala Terengganu dan diterima dengan resminya oleh Setiausaha Sulit Kanan kepada Menteri Besar, Wan Ahmad Wan Muda," katanya.

Pejabat Menteri Besar, jelas beliau, telah ditugaskan untuk melakukan pengagihan kelengkapan sekolah itu bagi kawasan Parlimen Kuala Terengganu sempena Pilihanraya Kecil Parlimen Kuala Terengganu pada awal tahun 2009 lalu.

Katanya, program bantuan itu berterusan selama tiga tahun dan jumlah keseluruhan adalah RM28.47 juta yang telah dibelanjakan untuk 282,966 pelajar di seluruh Terengganu sepanjang tahun 2008-2010.

"Lebih menakjubkan lagi adalah hasil tinjauan audit pada 3 November 2010 di beberapa buah kedai pakaian dan alatan sekolah pelbagai jenama sekitar Daerah Kuala Terengganu mendapati harga pakaian adalah lebih rendah dari yang ditawarkan.

"Harga di pasaran ialah RM26.70 dan RM76.50 berbanding harga pembekal antara RM73.50 dan RM123.30 dan ini bermakna kerajaan dapat berjimat sebanyak RM1.42 juta pada kadar harga yang jauh lebih rendah," tegasnya.

Persoalan besar yang timbul, tambah beliau, bagaimanakah projek yang diurus selia oleh Pejabat Menteri Besar sendiri boleh berlaku salah urus dan kebocoran yang amat ketara?

Katanya, selepas projek e-Book yang menelan belanja hampir RM100 juta dan telah dikesan oleh Laporan Audit kerana ‘tiada perjanjian di antara syarikat dan kerajaan negeri’, projek bantuan kelengkapan sekolah itu juga telah dikesan ‘tidak mempunyai sebarang perjanjian’.

"Siapakah yang perlu bertanggungjawab dalam pelanggaran peraturan perolehan kerajaan ini? Menteri Besar sendirikah atau pegawai kerajaan yang terbabit?

"Selain itu, siapakah yang mendapat keuntungan laba yang besar dengan memeras jerih susah rakyat miskin di seluruh negeri Terengganu ini?" ujarnya.

Bayangkanlah, katanya, bantuan pakaian dan alatan sekolah yang dikhususkan untuk golongan miskin di seluruh Terengganu juga telah berlaku salah laku dan penyelewengan.

"Di manakah sifat amanah dalam menjalankan tugas kalau untuk golongan miskin juga telah berlaku salah urus dan kebocoran yang amat memalukan seluruh rakyat Terengganu?" ujarnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Batu Buruk.

Beliau menyifatkan nasib golongan miskin di Terengganu amat malang kerana sudahlah mereka sentiasa diperas ugut dengan cengkaman pelbagai bantuan dan subsidi serta wang ihsan bagi terus dipaksa menyokong Umno BN, peruntukan untuk mereka juga telah diselewengkan tanpa rasa sebarang belas kasihan oleh pihak-pihak terbabit.

"Mungkin ini tepat dengan tema pentadbiran Menteri Besar Ahmad Said; "Merakyatkan Pentadbiran dan Pembangunan", dengan memeras keringat dan air mata rakyat miskin Gganu kite. Nampaknya, penyu akan terus menangis lagi di Gganu kite ini," katanya kesal.

Tiada ulasan: