Sabtu, 5 November 2011

Seksualiti Merdeka: Hasan gesa Pakatan banteras

Amalan mana-mana agama di dunia juga tidak mengizinkan aktiviti sedemikian berlaku.


SHAH ALAM: Exco Selangor Datuk Dr Hasan Ali menyeru pucuk pimpinan PAS dan Pakatan Rakyat bersama-sama membanteras gejala keruntuhan akidah berkait dengan program yang menyuarakan hak golongan lesbian, gay,biseksual dan transeksual (LGBT) daripada diteruskan.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Islam, Adat-adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam turut menyeru dua pihak terbabit iaitu Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) dan Majlis Peguam agar kembali ke pangkal jalan daripada menyokong aktiviti yang memesongkan akidah itu.

Hassan berkata amalan mana-mana agama di dunia juga tidak mengizinkan aktiviti sedemikian berlaku.

Malah beliau turut menegah masyarakat Islam khasnya untuk tidak terlibat dengan program LGBT tersebut.

“Mereka ini insan yang mempunyai jiwa agama tidak kisah sama ada mereka Kristian, Buddha atau Hindu. Namun dalam mana-mana agama di dunia tidak mengizinkan hubungan seksual sejenis. Kalau tidak dibenarkan mengapa banyak pihak yang beragama melawan arus.

“Saya seru Suhakam, Majlis Peguam dan teman lain balik ke pangkal jalan. Kalau kita dah silap jalan…kita akan bawa ratusan, jutaan orang untuk silap jalan. Silap Jalan Ipoh boleh undur dan mara. Silap jalan cari akidah kesannya di dunia dan akhirat bagi yang Muslim.

“Saya wakil dari Pakatan dan PAS seru pucuk pimpinan PAS, Pakatan dan mana-mana parti politik pun untuk membanteras gejala keruntuhan kemanusiaan dan akidah ini,” jelas beliau.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan majlis penutupan Seminar Islam Semasa dan Pengislaman Ilmu (Perubatan Alternatif: Amalan dan Kepercayaan berdasarkan prinsip-prinsip Islam) di sini hari ini.

‘Setuju dengan Pemuda PAS’

Ditanya pemberita mengenai konsert Elton John, Hasan berkata kehadiran penyanyi gay itu hanya akan menyemarakan aktiviti diluar yang tidak bermoral.

Beliau turut menyokong tindakan Pemuda PAS agar diadakan demonstrasi membantah konsert tersebut.

“Elton John juga ada kaitan kerana beliau tergolong dalam kumpulan terbabit (LGBT). Kedatangan beliau menyemarakan aktiviti dengan pasang colok, simbah minyak, api. Saya sokong Pemuda PAS buat demo dan apa jua tindakan untuk bantah konsert ini,” ujar Hasan.

Namun menurut Hasan, program khusus untuk menangani aktiviti LGBT ini memerlukan pakar khusus dalam pelaksanaannya.

“Ia perlukan pendekatan batiniah, bukan sekadar lahiriah. Ia memerlukan kemahiran khusus, malah saya juga kurang sesuai….kerana mereka baca buku ada pengalaman yang banyak. Jadi bagaimana soal batiniah ini kita hendak cakap? soalnya.

Maka beliau mencadangkan dikumpulkan tenaga fikir untuk menjalankan penguatkuasaan berkaitan.

Sementara itu, Hasan menegaskan beliau tidak memerlukan sokongan mana-mana pihak untuk membanteras aktiviti LGBT ini.

“Yang penting minta disayangi Allah (Tuhan). Tidak guna pemimpin PAS sayang saya jika saya dibenci Allah. Pemimpin PAS faham hati nurani saya,” katanya

Tiada ulasan: