Rabu, 9 November 2011

Satim dakwa Bajet S’gor tiru k’jaan Pusat

Beliau menangkis dakwaan bahawa belanjawan yang dibentangkan kerajaan Barisan Nasional di Parlimen 7 Oktober lalu adalah bajet Pakatan Rakyat.



DUN SELANGOR

SHAH ALAM: Ketua Pembangkang Datuk Mohamad Satim Diman berkata Bajet 2012 yang dibentangkan dalam sidang Dewan Undangan Negeri (Dun) Selangor di sini hari ini banyak meniru pendekatan bajet Kerajaan Pusat sebelum ini.

Beliau berkata demikian bagi menangkis dakwaan bahawa belanjawan yang dibentangkan kerajaan Barisan Nasional di Parlimen 7 Oktober lalu adalah bajet Pakatan Rakyat.

Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim membentangkan Belanjawan 2012 yang bertemakan ‘Selangorku: Hasil Negeri Untuk Rakyat’ dengan peruntukan sebanyak RM1.6 bilion iaitu kenaikan 11.89% berbanding RM1.4 billion pada 2011.

“Kita tengok sama ada ia dibuat atau tidak kerana banyak lagi janji yang ditabur sebelum ini tidak dilaksanakan sepenuhnya,” kata Satim ketika ditemui pemberita selepas sesi pembentangan Belanjawan Kerajaan Selangor 2012.

Menurut beliau, tindakan menyuntik dana RM10 juta terhadap anak syarikat yang mempunyai masalah kewangan untuk melaksanakan gaji minima menunjukkan prestasi syarikat terbabit tidak stabil.

Satim menyifatkan peruntukan sebanyak RM5 juta untuk mengukuhkan proses pilihan raya yang adil dan bebas sebagai satu pembaziran.

“Sungguh hairan macam mana Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) boleh beri bonus sampai tujuh bulan walau pun mempunyai masalah kewangan.

“Ini baru satu contoh sebuah anak syarikat kerajaan negeri…….yang sebenarnya banyak lagi ada masalah macam PKNS.

“Saya lihat hasil usaha kerajaan negeri terdahulu membangunkan syarikat besar dimusnahkan macam itu saja oleh kerajaan negeri sekarang.

“Malah peruntukan RM5 juta itu, kalau pilihan raya kita tidak adil, Pakatan Rakyat tidak akan dapat negeri ini dan menang banyak kerusi. Jadi tidak perlu sampai hendak buat macam-macam,” katanya.

Sementara itu, Khalid berkata, belanjawan ini merupakan kesinambungan dan pengukuhan terhadap usaha-usaha mengagihkan kekayaan negeri di bawah dasar Hasil Negeri Untuk Rakyat menerusi program-program MES.

Dari jumlah RM1.6 bilion itu, sebanyak RM1 bilion diperuntukkan untuk perbelanjaan mengurus dan RM600 juta untuk perbelanjaan pembangunan.

Ringkasan belanjawan

Dari jumlah RM1 bilion untuk perbelanjaan mengurus itu pula, sebanyak RM323.09 juta (32.3%) untuk emolumen; bekalan dan perkhidmatan RM371.39 juta (37.1%), pemberian dan kenaan bayaran tetap RM284.18 juta (28.4%), aset RM8.08 juta (0.8%) dan perbelanjaan lain RM13.27 juta (1.5%).

Dari RM600 juta untuk perbelanjaan pembangunan, sebanyak RM411.09 juta atau 68% diagihkan untuk sektor infrastuktur, RM100.06 juta (17%) untuk sektor sosial, RM84.24 juta atau 14% untuk sektor ekonomi dan RM4.61 juta atau 1% untuk sektor perbandaran.

Hasil Negeri pada 2012 dijangka terus bertambah dengan Hasil Cukai meningkat 8.23%, iaitu dari RM43.69 juta kepada RM574.67 juta berbanding RM530.98 juta pada 2011.

Hasil Bukan Cukai pula dijangka bertambah sebanyak RM187.44 juta atau 40.12% kepada RM654.60 juta pada 2012 berbanding RM467.16 juta pada 2011.

Bagaimanapun, Terimaan Bukan Hasil dijangka berkurangan dari RM431.86 juta tahun 2011 kepada RM370.72 juta tahun 2012 iaitu pengurangan 14.16% atau RM61.13 juta.

Belanjawan 2012 akan meneruskan program-program MES menggunakan hasil negeri bagi Fasa Ketiga termasuk memperkenalkan program baru iaitu Elaun Anak ke Nurseri dengan peruntukan sebanyak RM3 juta.

Program Tabung Warisan Anak Selangor (Tawas) mendapat peruntukan sebanyak RM7.5 juta, Hadiah Anak Masuk Universiti RM7.7 juta, Skim Mesra Usia Emas (SMUE) RM20.7 juta, Pusat Khidmat Sehenti RM50,000 dan Skim Kesihatan Wanita RM1 juta.

Khalid turut mengumumkan bahawa pemberian 20 meter padu air percuma setiap bulan yang memberi manfaat kepada lebih empat juta pengguna di Selangor akan diteruskan dengan dibiayai oleh Pemerbadanan Menteri Besar (MBI).

Tiada ulasan: