Rabu, 23 November 2011

RUU Perhimpunan Aman: Perubahan yang lebih mengukuhkan cengkaman

Nasrudin Hassan


Rakyat semakin keliru dan kian sangsi terhadap komitmen kerajaan UMNO dan BN dalam membawa agenda transformasi. Segalanya dilihat sebagai "lakonan strategik" di layar politik tanahair setelah satu demi satu komitmen UMNO dan BN terungkai dalam usaha janji mereka kononnya mahu melakukan perubahan di dalam negara tercinta.

Bermula dengan sikap flip-flop mereka tehadap dasar PPSMI setelah mereka memberi komitmen mahu memansuhkannya dan diikuti pula dengan ISA. Masih panas di cuping telinga rakyat, kenyataan Perdana Menteri yang memberi harapan kepada mereka untuk memansukhkan ISA, namun tidak lama kemudian 13 orang ditangkap di bawah ISA.

Kini Himpunan Aman pula diikat dengan pelbagai peraturan yang menggerunkan. Kononnya mereka membenarkan Himpunan Aman, sebaliknya segala peraturan yang ditetapkan seperti menutup ruang himpunan tersebut boleh diadakan malah dilihat lebih keras dari peraturan yang sedia termaktub dalam Akta Polis. Jika sebelum ini denda RM2 ribu kini telah meningkat kepada RM20 ribu.

Pula disyaratkan notis 30 hari sebelum himpunan diadakan, tidak boleh diadakan di jalan raya dan mesti di luar 50 meter dari rumah ibadah. Segala peraturan dan syarat ini seperti mereka tidak mahu himpunan aman diadakan. Sedangkan himpunan tersebut, jika sifatnya aman, kenapa tidak dibenarkan penganjuran himpunan tersebut sekalipun di perkarangan masjid dan di jalan raya?

Sebagai contoh, jika timbul isu yang melibatkan kepentingan agama Islam seperti penghinaan terhadap agama, isu aqidah dan seumpamanya, sudah tentu bermula dari mimbar khutbah sehinggalah perkarangan masjid menjadi lokasi himpunan yang paling starategik dan berkesan, justeru tujuan himpunan aman dianjurkan adalah untuk memberi maklumat, mencetuskan kesedaran, menyatukan suara dan tindakan. Demikian juga himpunan aman yang memerlukan perarakan dari satu destinasi ke satu destinasi yang lain untuk menarik perhatian umum terhadap mesej yang dibawa oleh penganjur jelas memerlukan jalanraya.

Isu yang berlaku terkadang perlu ditangani segera. Apa rasionalnya apabila terpaksa menunggu 30 hari selepas notis, barulah himpunan aman itu boleh dilangsungkan kerana disyaratkan notis himpunan tersebut mestilah 30 hari sebelum. Peraturan ini tidak menepati aspirasi penganjuran himpunan aman. Kita bukan berhimpun untuk konsert hiburan yang membolehkan kita bersiap awal. Penganjuran konsert, usahkan 30 hari, 3 bulan sebelum pun tidak mengapa. Tetapi ini adalah himpunan aman yang banyak keadaannya bersifat respon balas terhadap sesuatu isu semasa yang timbul dan perlu tindakan pantas. Contoh mudah, hari ini orang hina agama anda, apakah anda perlu menunggu 30 hari untuk menyatakan bantahan terhadap penghinaan tersebut?

Jika sifat himpunan itu aman, maka apa yang diperlukan ialah kawalan keselamatan oleh pihak polis pada hari peristiwa atau himpunan itu dianjurkan tanpa perlu pihak polis melancarkan sebarang provokasi seperti menggunakan gas pemedih mata dan water canon. Sebagaimana yang dilakukan ke atas himpunan aman citra warna, perarakan maulidur rasul, perarakan hari kebangsaan atau sambutan hari kemerdekaan negara serta lainnya. Semua himpunan besar itu memerlukan lokasi seperti perkarangan masjid dan jalanraya.

Saya melihat, di sebalik tabir slogan transformasi yang diledakkan oleh UMNO dan BN, mereka secara strategik sedang merangka satu tindakan untuk lebih mencengkam kuasa ke atas rakyat sekaligus membohongi rakyat dengan pelbagai komitmen kononnya ke arah perubahan tetapi perubahan yang dimaksudkan ialah perubahan yang lebih mengukuhkan cengkaman, menyempitkan ruang demokrasi, mengeraskan hukuman ke atas rakyat.

*Kenyataan media oleh Nasrudin bin Hassan (gambar kiri) selaku Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia.

Tiada ulasan: