Sabtu, 5 November 2011

PKR: PPSMI opsyenel bukan dasar Pakatan Rakyat

Nik Nazmi Nik Ahmad


Minggu ini DAP mengumumkan bahawa mereka menyokong pengajaran dan pembelajaran sains dan matematik di dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) sebagai opsyen bagi sekolah-sekolah yang mana majoriti ibu bapa memilihnya.

Kami memahami keperluan pelajar menguasai Bahasa Inggeris dan mendapat pendidikan yang bermutu. Tetapi PPSMI bukanlah dasar untuk mencapai kedua-dua objektif ini.

Tambahan lagi, PPSMI tidak disebut di dalam Dasar Bersama mahupun Buku Jingga yang mendasari muafakat antara KEADILAN, PAS dan DAP.

PPSMI diperkenalkan pada tahun 2003, tidak sampai enam bulan selepas Kabinet Mahathir Mohammad memutuskan untuk berbuat demikian tanpa sebarang perundingan, penyelidikan mahupun kajian.

Dasar ini mendapat tentangan ibu bapa, pendidik dan sarjana daripada pelbagai latar belakang dan kaum. Sementara PPSMI diperkenalkan sepenuhnya di sekolah-sekolah kebangsaan dan Tamil, pengajaran dan pembelajaran sains dan matematik di sekolah-sekolah Cina dibuat di dalam dwi-bahasa Mandarin dan Bahasa Inggeris berikutan tentangan keras Dong Jiao Zong.

Akhirnya kerajaan menerima kelemahan PPSMI pada tahun 2009 dan memutuskan untuk memansuhkan dasar ini pada 2012.

Kami menentang PPSMI kerana:

1. Cara terbaik mendidik anak-anak kita ialah menerusi bahasa kebangsaan yang difahami semua. Mendidik pelajar dengan bahasa yang asing pada mereka kecuali segelintir kecil keluarga yang beruntung datang daripada keluarga yang fasih berbahasa Inggeris (yang merupakan minoriti kecil) hanya akan memberi manfaat kepada mereka yang fasih Bahasa Inggeris dan merugikan majoriti pelajar-pelajar lain, sekaligus melebarkan jurang pendidikan. Malaysia merosot secara mendadak di dalam kajian Trends in International Mathematics and Science Study 2007, Amerika Syarikat selepas pelaksanaan PPSMI.

2. Kedudukan Bahasa Malaysia sebagai bahasa kebangsaan telahpun termaktub di dalam muafakat Perlembagaan kita yang dipersetujui bapa-bapa kemerdekaan kita. Pakatan Rakyat telah mengulangi komitmennya kepada muafakat ini.

3. Kami menyokong usaha menambahbaik pengajaran Bahasa Inggeris untuk semua rakyat Malaysia. Namun cara sebetulnya ialah dengan meningkatkan kualiti guru-guru dan kurikulum Bahasa Inggeris serta menambah masa pengajaran Bahasa Inggeris, bukannya menerusi PPSMI!

4. Pelaksanaan PPSMI yang dibuat serta-merta menyebabkan guru-guru sains dan matematik yang tidak menguasai Bahasa Inggeris dipaksa mengajar di dalam bahasa tersebut, sekaligus menjejaskan mutu pengajaran mereka. Mangsa paling besar dasar ini ialah pelajar-pelajar yang datang daripada keluarga yang tidak berbahasa Inggeris yang menanggung beban tambahan menyesuaikan diri dengan guru-guru yang tidak dapat mengajar kedua-dua mata pelajaran ini dengan baik.

5. Pada masa dunia berbahasa Inggeris menjadi semakin terbuka terhadap pengajaran bahasa-bahasa asing seperti Mandarin, Perancis, Sepanyol dan Arab, keghairahan kita dengan Bahasa Inggeris adalah luarbiasa. Kita sepatutnya bersyukur dengan warisan masyarakat majmuk kita yang membolehkan semua diajar Bahasa Malaysia dan Inggeris dan diberi peluang untuk mempelajari bahasa-bahasa lain seperti Arab, Mandarin, Tamil dan lain-lain lagi.

Justeru, dasar Pakatan adalah jelas dalam isu PPSMI dan tidak patut dibangkitkan lagi sehingga dan sekiranya kepimpinan Pakatan mahu mengkajinya semula.

*Kenyataan media oleh Nik Nazmi Nik Ahmad (gambar kanan) selaku Pengarah Komunikasi Parti Keadilan Rakyat.

Tiada ulasan: