Rabu, 23 November 2011

Pakatan lulus 149,000 hak milik tanah 11 bulan memerintah Perak

Bekas MB menolak kenyataan Exco BN yang mengatakan Pakatan hanya meluluskan 1,092 hak milik



IPOH: Kerajaan Pakatan Rakyat meluluskan 149, 000 hak milik tanah untuk kampung tersusun dan kampung baru selama 10 bulan memerintah Perak, kata bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohd Nizar Jamaluddin.

Bagaimanapun, katanya kerajaan tidak sempat memberikannya kepada rakyat kerana berlakunya rampasan kerajaan negeri pada akhir Januari 2009.

Dalam sidang DUN hari ini Pengerusi Jawatankuasa Insfrastruktur, Kemudahan Awam, Tenaga dan Air negeri Datuk Ramly Zahari berkata, Pakatan Rakyat hanya meluluskan 1,092 hak milik sepanjang memerintah.

Mengulas kenyataan ini, Nizar yang juga Adun Pasir Panjang berkata, mungkin 1,092 hak milik tanah itu adalah tanah yang diterima rakyat.

Bernama hari ini melapurkan, selama 11 bulan mentadbir negeri Perak, kerajaan pimpinan pakatan DAP-Parti Keadilan Rakyat (PKR)-PAS hanya meluluskan 1,092 hak milik tanah kepada rakyat berbanding sejumlah 3,047 hak milik sepanjang 2009 oleh Barisan Nasional (BN) apabila mengambil alih pentadbiran kerajaan pada Februari tahun itu.

Ramly berkata pada 2010, jumlah hak milik yang diluluskan adalah sebanyak 6,715.

Tanpa mengira politik

“Ia menunjukkan kerajaan negeri pimpinan BN lebih banyak meluluskan hak milik tanah untuk rakyat iaitu lebih 10,000 untuk tempoh dua tahun,” katanya ketika menjawab soalan tambahan Datuk Hasbullah Osman (BN-Temenggor) yang ingin tahu jumlah hak milik tanah yang diluluskan kerajaan pakatan semasa memerintah Perak pada persidangan DUN hari ini.

Beliau berkata kerajaan negeri mempertimbangkan semua permohonan bagi mendapatkan hak milik tanah tertentu walaupun terdapat permohonan bertindih iaitu lebih daripada satu pemohonan terhadap sesebuah kawasan tanah.

Terdahulu semasa menjawab soalan Ramli Tusin (PAS-Gunung Semanggol), Ramly berkata semua permohonan itu dipertimbangkan tanpa mengira batasan agama, kaum atau ideologi politik serta diluluskan selepas dibuat saringan temuduga dan diputuskan oleh Jawatankuasa Pemilihan Tanah Daerah.

Tiada ulasan: