Rabu, 9 November 2011

Pakatan jamin saiz tenaga kerja sektor awam akan kekal

TERKINI

KUALA LUMPUR — Pakatan Rakyat tidak akan sama sekali mengurangkan saiz kakitangan sektor awam, sebaliknya akan memberi fokus untuk menjadikan tenaga kerja kerajaan lebih efisien jika pihaknya memerintah.

Dilihat sebagai usaha mahu meredakan rasa tidak senang ekoran pandangan Setiausaha Publisiti DAP Tony Pua berhubung perkara tersebut baru-baru ini, kepimpinan Pakatan Rakyat hari ini menegaskan, pihaknya akan mengekalkan bilangan semasa jika mengambil alih kerajaan pusat pada pilihan raya umum ke-13.

"Pakatan Rakyat mahu menjelaskan bahawa kedudukan seramai 1.2 juta kakitangan dan pegawai perkhidmatan awam akan dijamin, sebagaimana termaktub dalam Perlembagaan," kata Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub pada sidang media di lobi bangunan Parlimen hari ini.

Sidang media itu turut dihadiri oleh Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar dan ahli jawatankuasa PAS pusat Dr Dzulkefly Ahmad, masing-masing Ahli Parlimen Lembah Pantai dan Kuala Selangor.

Salahuddin (gambar) yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian berkata, Pakatan Rakyat sememangnya telah menekankan dalam bajet alternatif mereka tentang kepentingan peranan perkhidmatan awam dalam melaksanakan polisi kerajaan dan sebarang usaha untuk mengesyorkan sebaliknya adalah fitnah.

Katanya, perikatan itu juga menyedari bahawa campur tangan politik telah membawa kepada kemerosotan keberkesanan sektor awam dan berjanji akan menghentikan amalan sedemikian jika Pakatan Rakyat menguasai Putrajaya.

Dalam pada itu, Nurul Izzah berkata, Pakatan Rakyat akan memansuhkan peranan Pemandu dan pakar runding jika memerintah kerajaan pusat bagi memotong kos operasi Putrajaya.

Semalam, Pua menyelar pihak-pihak yang mengecam cadangan parti itu mahu memperkemaskan perkhidmatan awam menerusi pendekatan mengurangkan saiz tenaga kerja dengan sengaja menjadikannya isu perkauman kerana ia bukan satu idea janggal, malah pernah disentuh oleh pentadbrian Dr Mahathir dan terbaru bulan lalu oleh Datuk Seri Najib Razak.

Beliau menyifatkan pemimpin-pemimpin Umno, akhbarnya Utusan Malaysia dan Perkasa sebagai hipokrit kerana menyifatkan rancangan itu - mengurangkan tenaga kerja secara berperingkat-peringkat sebagai dasar menghakis penguasaan orang Melayu, memandangkan perdana menteri sendiri telah menggerakkan pelan itu bulan lalu.

“Ya, ia selari dengan apa yang pernah disentuh oleh Najib dan Tun Dr Mahathir Mohamad,” kata Pua.

Dalam ucapan Bajet 2012, Najib yang juga Menteri Kewangan mengumumkan sistem saraan fleksibel bagi kakitangan awam berdasarkan prestasi di mana mereka yang gagal mempamerkan prestasi diberi peluang untuk meninggalkan sektor awam.

Bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad pernah memperkenalkan dasar penswastaan untuk mengurangkan tenaga kerja sektor awam daripada 1.2 juta kepada sekitar 800,000 pada awal dekad 1990-an.

Ekoran pengumuman Najib bulan lalu, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Sidek Hassan juga menegaskan bahawa dasar baru itu akan dilaksanakan dengan tegas.

“Ini sikap kepura-puraan paling tinggi diamalkan oleh Umno,” kata Pua.

Tiada ulasan: