Rabu, 9 November 2011

Najib, Rosmah berlepas pulang dari Arab Saudi

MALAYSIA KINI
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan rombongannya berlepas dari Arab Saudi untuk kembali ke tanah air, awal hari ini.

Pesawat yang membawa Najib dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor serta rombongan itu berlepas dari terminal Royal Pavilion Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Abdulaziz kira-kira jam 1 pagi (6 pagi waktu Malaysia).

Antara yang berada di lapangan terbang untuk mengucapkan selamat jalan ialah Timbalan Gabenor Wilayah Makkah, Dr Abdulaziz Al Khedheiri; Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom; Duta Besar Malaysia di Arab Saudi, Prof Datuk Syed Omar Al-Sagga; Konsul Jeneral Malaysia di Jeddah, Mohd Khalid Abdul Razak serta beberapa barisan pemimpin Lembaga Tabung Haji.

Najib bersama rombongan beliau, yang antara anggotanya termasuk bondanya, Tun Rahah Mohamad Noah serta adiknya, Datuk Mohamed Nazim dan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir, tiba di Arab Saudi pada 31 Oktober lalu untuk menunaikan ibadah haji.

Rabu lalu, Najib dan Rosmah sempat meluangkan masa mengunjungi ibu pejabat Tabung Haji di bangunan hotel Abraj Al Janadiriah di sini dan beramah mesra dengan jemaah haji Malaysia yang menginap di hotel berkenaan.

Isnin lalu, Najib bersama pemimpin Islam lain yang berada di tanah suci untuk mengerjakan ibadah haji, diraikan oleh Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Dalam Negeri Arab Saudi, Putera Mahkota Naif Abdul Aziz.- Bernama

Tiada ulasan: