Isnin, 7 November 2011

Makanan 'disimpan di bilik air', kementerian bertindak


MALAYSIA KINI
Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah telah menubuhkan pasukan pemantau untuk menjalankan audit pematuhan di taska KEMAS berhubung kepincangan seperti yang dibangkitkan di dalam Laporan Ketua Audit Negara.

Dalam satu kenyataan media, hari ini, ketua setiausaha kementerian itu, Datuk Ibrahim Muhamad, berkata, pihaknya telah menggalurkan sembilan perkara untuk diambil tindakan.

NONEAntaranya, kata Ibrahim, tindakan tatatertib akan diambil terhadap pegawai-pegawai yang terbukti melakukan kecuaian akan diambil manakala semua pegawai pengurusan kewangan diwajibkan menghadiri latihan kecekapan dalam urusan kewangan.

“Tindakan meminta bayaran balik daripada pembekal-pembekal yang terlibat dalam program Giatmara telah dijalankan.

“Bagi pembekal yang gagal melunaskan bayaran tersebut sebelum 30 November 2011, mereka akan disenaraihitamkan daripada sebarang kontrak MARA dan Giatmara,” katanya.

Ketua Auditor pada laporan tahunan 2010 mencatatkan beberapa masalah dalam pentadbiran Kemas, termasuk sebuah tadikanya di Alor Setar, Kedah, didapati menyimpan bahan kering makanan di sebuah bilik air.

Selain bilik air, makanan untuk pelajar berkenaan juga didapati disimpan di laci, bekas tong dan stor barangan lain yang tidak selamat, sesuai dan tidak diuruskan dengan baik.

NONE“Terdapat makanan kering yang telah disimpan terlalu lama sehingga tamat tarikh luputnya, terdedah kepada ancaman serangga perosak dan ditempatkan bersebelahan dengan bahan-bahan kimia seperti cat.

“Penyimpanan bahan makanan di tempat yang tidak sesuai boleh menyebakan ia mudah rosak dan tidak selamat digunakan,” petik laporan itu.

Kajian audit juga mendapati sebuah tadika di Kota Bharu, menyimpan makanan kering yang dipenuhi najis lipas.

Mengulas laporan itu, Ibrahim berkata, pemeriksaan penyimpanan bahan-bahan makanan di setiap taska akan dibuat serta merta serta mengambil tindakan segera bagi setiap permasalahan yang timbul.

“Kementerian mengambil serius terhadap setiap teguran yang telah dibangkitkan di dalam laporan Ketua Audit Negara 2010 dan akan memastikan ia tidak akan berulang lagi pada masa akan datang,” katanya.

Tiada ulasan: