Rabu, 23 November 2011

Mahkamah benar 72 pembeli kondo saman pemaju


MALAYSIA KINI

Pembeli kondominium boleh menyaman pemaju kerana melanggar kontrak tanpa perlu mendapatkan kebenaran bertulis daripada pembiaya mereka, demikian putus Mahkamah Rayuan, semalam.

Datuk Wira Low Hop Bing yang mengetuai panel tiga hakim memutuskan Akta Pemaju Perumahan (Kawalan dan Pelesenan) 1966 merupakan undang-undang sosial yang perlu ditafsirkan secara liberal untuk pembeli rumah.

Beliau berkata Seksyen 22(C)(1) akta itu memberikan hak kepada pembeli rumah untuk memulakan tindakan undang-undang atas namanya sendiri terhadap pemaju perumahan atau mana-mana orang berkenaan dengan apa-apa perkara yang berbangkit daripada perjanjian jual beli antara pembeli rumah dan pemaju, melainkan jika perjanjian itu menyatakan niat sebaliknya iaitu bahawa dia perlu mendapatkan kebenaran bertulis daripada pembiaya sebelum boleh menggunakan haknya untuk mengemukakan saman.

Low berkata Mahkamah Rayuan berpendapat seorang pembeli rumah itu perlu mendapatkan kebenaran daripada pembiaya untuk memulakan tindakan undang-undang sekiranya perjanjian jual beli menyatakan sedemikian.

Bagaimanapun, beliau berkata dalam kes ini, mahkamah tidak dapat mencari apa-apa niat yang dinyatakan dalam perjanjian yang memerlukan persetujuan tersebut dan dengan itu, kebenaran bertulis tidak diperlukan.

Mahkamah Rayuan membuat keputusan itu ketika membenarkan 72 pembeli kondominium menghidupkan semula saman mereka terhadap syarikat pemaju Debir Desa Development Sdn Bhd dan 13 defendan lain, serta mengarahkan kes itu dikembalikan ke Mahkamah Tinggi untuk perbicaraan.

Panel yang turut dianggotai Hakim Datuk Seri Abu Samah Nordin dan Datuk Linton Albert itu, turut mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi pada 29 Nov lalu, yang menolak saman berkenaan selepas membenarkan bantahan awal defendan yang mendakwa pembeli tidak mempunyai locus standi (hak di sisi undang-undang) untuk mengemukakan saman kerana mereka tidak mendapat persetujuan bertulis daripada pembiaya untuk berbuat demikian.

Semua plaintif merupakan pembeli 57 unit kondominium Medan Putra di Bandar Menjalara, Kepong. Mereka antara 93 pembeli yang menyaman Debir Desa Development dan 13 lagi pada Januari 2003 kerana melanggar terma dalam perjanjian jual beli.

Bagaimanapun, Mahkamah Tinggi memutuskan 21 pembeli lain boleh menyaman defendan kerana mereka telah mendapat kebenaran bertulis penuh atau bersyarat daripada pembiaya masing-masing.

Dalam penyataan tuntutan, pembeli mendakwa terdapat banyak retakan di bahagian luar dan dalam lantai, dinding, balkoni, tangga dan rasuk kondominium mereka.

Defendan pula mendakwa kondominium itu dibina mengikut terma dalam perjanjian jual beli.

Pembeli kondominium diwakili peguam Datuk Harpal Singh Grewal dan Harwinder Kaur manakala defendan oleh Christopher Foo, Mark Labroy dan SY Hiew.- Bernama

Tiada ulasan: