Sabtu, 26 November 2011

Mahasiswa tolak campur tangan ghaib

Khaulah Azwar


GOMBAK: Setiausaha Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (Gamis), Akram Ikram Taib Azamudin berkata, Himpunan Tolak 1.0 memastikan mahasiswa bebas berfikir dalam menentukan hala tuju mereka tanpa dicampur tangan ghaib oleh mana-mana pihak.

Katanya, Himpunan Tolak 1.0 semalam juga bertujuan menyatakan suara Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) menuntut dua tuntutan dalam menegakkan kebenaran.

Himpunan aman yang dihadiri kira-kira 500 mahasiswa Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) selepas solat Jumaat itu berjaya dilaksanakan tanpa sebarang provokasi daripada pihak polis dan pengurusan universiti.

Akram berkata, antara tuntutan itu adalah tolak campur tangan ghaib yang sering mengganggu program mahasiswa, menolak tindakan pihak pengurusan pentadbiran yang berdolak dalik dan tidak professional dalam membuat keputusan.

“Kita mohon juga sebarang ketetapan yang ditentukan oleh pentadbiran UIAM perlu dinilai perkembangan mahsiswa.

“UIAM tidak seharusnya menyekat suara mahasiswa dalam menyatakan pandangan dan hujah mereka seperti apa yang berlaku terhadap Presiden SRC UIAM, Mohd Iqbal Abdul Wahab telah dikecam oleh UIAM apabila beliau terlibat dalam siaran televisyen, Hujah,” katanya.

Justeru, ujarnya di peringkat mahasiswa dan mewakil pimpinan Gamis mendesak UIAM dan kerajaan menyokong mahasiwa dengan baik agar dapat melahirkan mahasiswa yang berpotensi tinggi.

Sementara itu, Farzana Omar selaku jurucakap Pro-M UIAM, We Unique For Islam (WUFI) pula berkata, pihaknya akan terus memperjuangkan isu yang berbangkit di UIAM dengan apa cara sekalipun demi menegakkan keadilan.

“Jika pihak berwajib enggan menerima tuntutan himpunan Tolak 1.0, maka kami daripada semua mahasiswa akan menyusun strategi yang lebih efektif. Ini adalah bertujuan adalah untuk membuka mata pihak berwajib dan UIAM agar tidak sewenang-wenangnya melakukan apa sahaja terhadap mahasiswa,” katanya.

Tegasnya, mahasiswa UIAM bukan seperti lembu yang dicucuk hidung dan mereka bukan mahasiswa yang mudah diperkotakkatikkan.

“Kami bukan mahasiswa jalanan tetapi kami adalah mahasiswa yang mendapat pendidikan sentuhan daripada para pendidik yang mempunyai ilmu yang tinggi dari sudut sahsiahnya,” ujarnya.

Tiada ulasan: