Sabtu, 12 November 2011

Kuasa MAS: Nong Chik dicadang debat terbuka

Harakahdaily


KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Titiwangsa mencadangkan satu debat terbuka diadakan antara Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin dengan Pengerusi Sekretariat Kampung Baru, Saudara Ahmad Zamri Asa’ad Khuzaimi.

Ketuanya, Mohamad Suhaimi Abdul Aziz berkata, debat tersebut perlu bagi merungkai status Lembaga Pentadbir Pertanian Penempatan (MAS) Kampung Baru sama ada ia dibawah kuasa kerajaan Negeri Selangor atau Wilayah Persekutuan.

"Perdebatan ini penting bagi memberi penjelasan sebenar mengenai isu MAS kerana kedua-dua pihak saling bercanggah pendapat.

"Lebih mengeruhkan keadaan, kerajaan Selangor dan Wilayah Persekutuan masing-masing berebut dalam menentukan hak dalam jawatankuasa MAS sehingga berlaku pertikaian dan kedua-dua pihak saling bertikam lidah bagi membuktikan dakwaan mereka," katanya.

Menurutnya, rakyat terutamanya penduduk Kampung Baru menjadi amat keliru berhubung isu pentadbiran Kampung Baru.

Ianya ekoran Ahmad Zamri mendakwa peruntukan Peraturan Penempatan Pertanian Melayu 1951 dan MAS tertakluk kepada bidang kuasa negeri Selangor.

Bahkan menurut beliau Jabatan Peguam Negara sendiri mengesahkan bahawa Peraturan Penempatan Pertanian Melayu 1951, Warta Negeri Selangor No.50/1951 masih lagi berkuat kuasa sehingga hari ini.

Sebaliknya, dakwaan Dato’ Nong Chik bercanggah dengan kenyataan Zamri dengan menyatakan ia adalah dalam bidang tugas kerajaan pusat di bawah Kementerian Wilayah Persekutuan.

"Rasional perdebatan ini diadakan agar pelantikan ahli-ahli jawatankuasa MAS terdiri daripada penduduk asal Kampung Baru yang boleh menjaga kepentingan mereka.

"MAS nantinya diharapkan pula menjadi kuasa pengimbang ‘check and balance’ dengan Perbadanan Pembangunan Kampung Baru yang telah diwujudkan dengan kelulusan Parlimen baru-baru ini," katanya lagi.

Menurut Suhaimi lagi, kedua-dua pihak yang berhujah melalui media tidak menyelesaikan masalah serta tidak menguntungkan rakyat.

Sebaiknya kedua-dua tokoh ini ujarnya, bertemu dalam ruang wacana sama ada debat eksklusif atau dikusi ilmiah.

Pada masa itu katanya, Kedua-dua pihak perlu kemukakan bukti kukuh agar rakyat dapat menilai kebenaran dan seterusnya akan dapat menjelaskan isu yang selama ini kabur.

"Dalam hal ini, kami sanggup menjadi penganjur debat ini dengan memberi kebebasan kepada kedua-dua tokoh ini untuk menentukan tarikh, masa, tempat, serta format debat ini.

"Perdebatan ini bukan untuk melihat siapa yang menang atau kalah, sebaliknya menentukan kebenaran di sebalik isu yang timbul," tegasnya.

Tiada ulasan: