Sabtu, 5 November 2011

Komputer riba untuk masjid bandar, jajahan

Muhammad Yusri Amin


KOTA BHARU: Kerajaan negeri menerusi Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (Jaheik) kini menggerakkan Fasa III E-Nikah dengan ‘turun ke bawah’ menganugerahkan komputer riba kepada semua masjid bandar dan masjid jajahan.

Pengarah Jaheik, Datuk Che Mohd Rahim Jusoh berkata kerajaan negeri memperuntukkan kira-kira RM20,000 bagi melaksanakan program tersebut.

“Komputer itu diberikan kepada semua ketua jajahan selaku pengerusi masjid, dan ini adalah peringkat pertama sebagai ‘pilot projek’ untuk masjid-masjid di negeri ini. Ini bermakna kita sekarang ini cuba onlinekan kepada awam,” tambah beliau.

Beliau bercakap kepada pemberita pada Perasmian Makmal Cyber Masjid Sultan Ismail Petra Kubang Kerian dan Pengurniaan Komputer Riba Bersama Password E-Nikah kepada Pengerusi-Pengerusi Masjid, Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik).

Pengurniaan itu disempurnakan Tengku Mahkota Kelantan, Tengku Muhammad Faiz Petra Ibni Sultan Ismail Petra di Masjid Sultan Ismail Petra Kubang Kerian dekat sini petang semalam.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Pembangunan Maklumat, Sains dan Teknologi Negeri, Dr Mohd Fadhli Hassan.

Mengulas penggunaan Makmal Cyber Masjid membabitkan pengguna golongan belia, Mohd Rahim berkata langkah itu ke arah mepastikan bahawa pembangunan ICT dapat dimanfaatkan oleh semua belia secara berhemah.

“Mereka harus menggunakan komputer itu secara baik dan di bawah pemantauan di mana masjid mengambil peranannya bagi mempastikan remaja hari ini dibela dan diberi keperluan mereka secara adil.

“Apabila kita dapat mempastikan semua masjid mempunyai internet, kita nak mempastikan Kelantan menjadi ‘Lembah Cyber Negara’, insya Allah dengan kerjasama agensi tertentu di samping sokongan Maik sendiri dalam menjayakan program ini,” katanya.

Menurutnya, penggunaan komputer di masjid membabitkan golongan belia adalah pendekatan terbaru dalam usaha kerajaan negeri mendekati remaja.

“Dengan mengadakan cyber di masjid itu bermakna kita berusaha mempastikan selera mereka dilayan secara yang betul dan di bawah pemantauan yang berterusan,” katanya.

Beliau berkata menerusi program ini juga pihak masjid memberi kemudahan kepada masyarakat awam di sekitar kawasan Masjid Kubang Kerian khususnya untuk mendapat ‘capaian’ internet percuma secara 24 jam.

Tiada ulasan: