Rabu, 16 November 2011

KOMAS alu-alukan komitmen Khalid untuk kukuhkan institusi demokrasi

KOMAS


Pusat KOMAS mengalu-alukan langkah berani kerajaan Negeri Selangor apabila Menteri Besar Khalid Ibrahim membentangkan bajet 2012 di mesyuarat Dewan Undangan Negeri (DUN) kelmarin berkata, RM5 juta akan diperuntukkan untuk mengukuhkan institusi demokrasi.

Jumlah ini adalah untuk program-program meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai hak-hak demokratik masing-masing; pendaftaran pengundi dan pemantauan pilihan raya.

Kami percaya bahawa tanggungjawab ini sudah lama tertangguh dan telah diabaikan oleh kerajaan Persekutuan - termasuk Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) - yang seolah- olah beranggapan bahawa semua mekanisme pilihan raya yang sedia ada berjalan dengan lancar.

Rakyat yang makin sedar tentang hak-hak mereka dalam pilihan raya dan mampu mengesan amalan penipuan merupakan komponen yang penting untuk memastikan pilihanraya yang bebas dan adil. Pengetahuan dan maklumat sedemikian rupa adalah alat yang penting untuk pengundi melindungi undi mereka. Tambahan pula, pendidikan kerakyatan merupakan salah satu rukun yang asas dalam demokrasi.

Selain itu, pendidikan kerakyatan seperti ini sudah lama dianggap sebagai norma dalam negara yang maju, matang dan berasaskan nilai demokrasi seperti Jerman, Amerika Syarikat dan United Kingdom. Walau bagaimanapun, di Malaysia pendidikan demokrasi ini merupakan perkara yang baru.

Walaupun dengan sumber kewangan dan sumber manusia yang terhad, Pusat KOMAS bersama-sama dengan beberapa organisasi-organisasi masyarakat sivil yang lain telah terlibat secara aktif dengan Program Pendidikan Kerakyatan sejak lima tahun yang lalu. Kami telah menghasilkan banyak buku komik pendidikan pengundi, risalah, poster dan video serta telah menjalankan ratusan bengkel dan sesi pendidikan pengundi di kalangan masyarakat rumah panjang di Sarawak, masyarakat orang Asli di Semenanjung dan masyarakat miskin bandar di Selangor dan KL.

Dalam usaha untuk menggalakkan pendidikan pengundi dan mengambil bahagian dalam pemantauan pilihan raya, kita menyedari bahawa rakyat terutamanya masyarakat luar bandar yang kekurangan atau hampir tiada peluang mengakses internet sebenarnya tidak berpengetahuan mengenai hak-hak mengundi mereka, apatah lagi dengan undang-undang dan peraturan pilihan raya.

Lantaran itu, mereka terdedah kepada kuasa-kuasa eksploitasi dengan agenda politik tersembunyi yang akan memujuk atau merasuah mereka untuk memberi undi mereka. Sesetengah daripada mereka sedar akan pelanggaran dalam sistem pilihan raya tetapi tidak tahu bagaimana dan mana hendak melaporkan pemerhatian mereka. Yang lebih menyedihkan lagi, ada di antara mereka yang telah kehilangan keyakinan terhadap sistem pilihan raya yang sedia ada lalu berhenti mengundi.

Tidak dinafikan bahawa Malaysia telah menikmati pertumbuhan ekonomi yang pantas dan juga reputasi global menjadi hab pendidikan swasta yang popular di rantau Asia. Tetapi apa yang menyedihkan ialah ramai daripada 28 juta rakyat Malaysia kekal cetek dalam pengetahuan dan maklumat mengenai hak asasi manusia seperti hak untuk mengundi dan untuk melindungi hak mengundi mereka.

Sesungguhnya, kami berharap agar komitmen kerajaan negeri Selangor memperuntukkan sebanyak RM 5 juta untuk mendidik rakyat tentang hak-hak demokratik masing-masing juga akan dicontohi oleh kerajaan negeri yang lain. Lebih penting lagi, kami berharap agar usaha ini akan menjadi teladan kepada kerajaan persekutuan dan Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia yang masih degil dan berpendapat bahawa sistem pilihan raya telah mencapai tahap piawaian yang memuaskan.

Akhir sekali, Pusat KOMAS dengan sepenuh hati menyokong komitmen kerajaan negeri dalam pendidikan kewarganegaraan kerana cara ini adalah penting untuk mengukuhkan sistem demokrasi di kalangan rakyat.

*Kenyataan media oleh Tan Jo Hann (gambar kanan) selaku Pengarah Eksekutif Pusat KOMAS merangkap Ahli Majlis MPSJ.

Tiada ulasan: