Rabu, 16 November 2011

Kementerian Pelancongan terima pandangan PAS

Aziz Muda


KUALA LUMPUR,: Pandangan PAS agar pegawai-pegawai Kementerian Pelancongan yang berkelayakan dinaiktaraf diterima dengan baik oleh kementerian itu.

Pandangan tersebut dikemukakan oleh PAS bagi membolehkan pegawai-pegawai terbabit diiktiraf dalam Jusa demi memanfaatkan kebolehan mereka untuk kepentingan perkembangan bidang pelancongan negara.

Ahli Parlimen Kuala Krai, Dr Mohd Hatta Ramli berkata, sehingga kini kedudukan pegawai-pegawai kementerian terbabit berada dalam kedudukan yang tidak sewajarnya, walaupun mereka mempunyai kebolehan tersendiri.

Menurut beliau, kejadian seperti itu tidak sepatutnya berlaku kerana ia bukan sahaja menganiaya pegawai-pegawai terbabit, tetapi boleh menjejaskan keyakinan pelbagai pihak terhadap kebolehan mereka.

Katanya, disebabkan kejadian itu, banyak pihak berasa kurang yakin untuk berbincang dengan mereka berhubung sesuatu perkara kerana diyakini gagal untuk menyelesaikan sesuatu masalah berbangkit dalam usaha untuk mengembangkan bidang pelancongan negara.

"Contohnya termasuk berhubung sesuatu masalah besar seperti yang berkaitan perbincangan makmal," katanya ketika berucap pada sesi penggulungan peringkat Kementerian Pelancongan oleh timbalan menteri terbabit pada persidangan Dewan Rakyat, hari ini.

Disebabkan keadaan itu, menurut beliau, pegawai-pegawai kementerian terbabit pasti akan turut dipandang rendah oleh pelancong-pelancong asing sehingga menyebabkan mereka hilang keyakinan terhadap pegawai-pegawai tersebut.

"Padahal, pegawai-pegawai itu juga mempunyai kebolehan dan memang telah memainkan peranan yang baik bagi perkembangan industri pelancongan negara.

"Oleh itu, mereka selayaknya dinaik taraf setandiing dengan pegawai-pegawai lain yang berada dalam Jusa," katanya yang juga Ketua Pengarah Pilihanraya PAS.

Timbalan Menteri Pelancongan, Datuk Dr James Dawos Mamit ketika menyambung penggulungannya mengucapkan terima kasih kepada beliau di atas pandangan tersebut kerana ia ternyata satu pandangan yang baik.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Mambong ternyata dapat memahami dengan baik pandangan tersebut dan berjanji akan membawanya ke peringkat perbincangan di peringkat atasan nanti.

Bahan ketawa

Dalam pada itu, James Dawos Mamit mengundang ketawa ahli-ahli Parlimen lain dan orang ramai pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Keadaan itu tercetus apabila beliau bertindak memarahi Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok, yang memberikan satu pandangan baik berhubung pelancongan, pada hal Teresa sebenarnya menyokong pandangannya.

Ahli Parlimen Putatan, Datuk Dr Marcus Mojigoh ketika bangun mencelah sewaktu James menggulung perbahasan peringkat Kementerian Pelancongan mencadangkan gambar menteri dan timbalan menteri terbabit turut dipaparkan pada billbord.

Menurut Marcus, tindakan itu merupakan sesuatu yang baik dan wajar dalam usaha promosi pelancongan negara dan seperti juga dilakukan oleh kementerian-kementerian lain dalam mempromosikan aktiviti kementerian masing-masing.

Memberikan respons bagi pandangan itu, James berpandangan tindakan tersebut tidak sepatutnya dilakukan pada kementeriannya, malah beliau lebih bersetuju jika gambar Menteri Pelancongan dan gambarnya tidak dipaparkan pada billbord.

Sebaliknya, beliau lebih bersetuju jika gambar-gambar lain yang bersesuaian yang dipasang di tempat-tempat tertentu, terutama di sesuatu kawasan pelancongan di seluruh negara.

Teresa yang bangun mencelah bersetuju dengan pandangan beliau dan mengaskan bahawa memaparkan gambar-gambar seperti mascot orang utan pada destinasi pelancongan tertentu seperti di Sarawak lebih berkesan dalam usaha menarik perhatian pelancong berbanding gambar-gambar manusia termasuk wanita.

Menurut beliau, tindakan seperti itu juga patut dilakukan di kawasan-kawasan pelancongan di negeri-negeri lain di seluruh negara dengan difokuskan kepada gambar tertentu yang mempunyai kaitan dengan ciri-ciri tempatan.

"Saya bersetuju dengan pandan YB Timbalan Menteri dalam hal ini. Gambar-gambar seperti itulah yang patut dipaparkan, bukannya gambar orang seperti gambar-gambar perempuan," katanya.

Bagaimanapun, James ternyata salah faham dengan pandangan itu lalu menganggap tindakan memasang billbord ditentang oleh Teresa walaupun ia penting bagi perkembangan pelancongan negara.

Meskipun Teresa bangun sekali lagi menjelaskan pandangannya, James tetap salah faham sehingga ahli-ahli Parlimen dan pelbagai pihak lain yang bertugas di Parlimen menjadi hairan dengan sikap beliau lalu mencetuskan ketawa orang ramai.

Sikap James yang suka berpusing atau berpaling kiri kanan dan belakang depan mencari ahli Parlimen yang bangun mencelah ketika beliau berucap, turut ditegur oleh Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat kerana ia menyalahi peraturan Parlimen.

Bagaimanapun, teguran itu dijawap oleh James dengan mengkritik sistem bunyi di dalam dewan persidangan yang tidak memuaskan sehingga mengganggu pendengarannya, walaupun menteri dan timbalan-timbalan menteri lain yang berucap sebelum ini tidak pula mengalami sebartang masalah dengan sistem bunyi di dalam dewan persidangan baru itu.

Sebelum itu, James turut kelihatan cemas apabila diserang bertubi-tubi dengan beberapa pertanyaan daripada Ahli Parlimen Rasah yang juga Ketua Pemuda DAP (Dapsy), Anthony Loke.

Antara persoalan yang ditimbulkan oleh Anthony termasuk berhubung jumlah sebenar kakitangan Kementerian Pelancongan yang terbabit dengan urusan Facebook sehingga perbelanjaan bagi pengurusan Facebook kementerian itu memakan belanja amat besar sebanyak RM1.8 juta.

Pertanyaan Anthony tidak dijawab oleh James tetapi sebaliknya beliau cuba beralih kepada persoalan lain khususnya berkaitan kepentingan Facebook kementerian itu untuk mengembangkan industri pelancongan negara, pada hal ia ternyata di luar kontaks persoalan sama sekali.

Walaupun Anthony bangun beberapa kali bertanyakan soalan-soalan lain dan soalan yang sama, James ternyata gagal menjawabnya dan akhirnya berjanji akan memberikan jawapan bertulis kepada Anthony berhubung perkara itu kemudian nanti.

Tiada ulasan: