Sabtu, 26 November 2011

Himpunan Aman: Transformasi Mat Jenin

MALAYSIA CHRONICLE


KUALA LUMPUR- Rang Undang-undang (RUU) Perhimpunan Aman yang dicadangkan oleh kerajaan Umno BN antara lain mestilah menghantar notis kepada pihak polis selama 30 hari sedang negara lain seperti Myanmar jelas lebih maju penghayatan demokrasinya apabila menghadkan hanya 5 hari notis kepada pihak berkuasa untuk menganjurkan himpunan aman.

“Ini membuktikan Malaysia di bawah pentadbiran Umno dan BN semakin mundur ke belakang dengan slogan transformasi angan-angan Mat Jenin,” kata Ketua Pemuda PAS Malaysia, Nasrudin Hassan at-Tantawi (gambar) kepada Harakahdaily.

Katanya, kelihatan mereka seperti mahukan perubahan setelah perit ditolak rakyat dalam pilihan raya umum tempoh hari tetapi mereka tidak mempunyai keberanian untuk benar-benar berubah dan menyambut baik aspirasi rakyat.

Menurutnya, mereka bimbang kehilangan kuasa dan mereka tidak berani sebenarnya untuk melakukan perubahan dengan memberi lebih kuasa kepada rakyat berbanding memusatkan kekuasaan sepenuhnya pada mereka kerana telah biasa berkuasa sejak lebih 50 tahun yang lalu.

“Langkah ini akan memakan diri mereka sendiri,” ujarnya.

Beliau menambah, apabila mereka dilihat enggan berubah malah semakin memusatkan kekuasaan mereka bererti mereka akan menyaksikan nasib serupa sewaktu rakyat menolak kepimpinan mereka melalui pilihan raya umum 2008 yang lalu.

“Dulu mereka ditolak kerana keangkuhan dan pemusatan kuasa yang keterlaluan selama ini," katanya.-Harakahdaily

Tiada ulasan: