Ahad, 6 November 2011

FELDA TERPESONG DI BAWAH NAJIB?

RONTOG DAILY

Sejak dikuasai Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak, Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) mula terpesong dari objektif utamanya, iaitu bertunjangkan pembangunan tanah pertanian, dan pelaburan sebagai sampingannya – kepada sebuah agensi pelaburan kewangan.

Laporan Ketua Audit Negara 2010 mendapati bahawa dana daripada Akaun FELDA yang dilaburkan dalam pelaburan saham siar harga dan tidak siar harga telah melebihi had yang dibenarkan untuk tiga tahun berturut-turut, malah memperbarui rekod tertinggi dari tahun ke tahun.

.

Ketua Audit berpendapat, “Penggunaan dana akaun FELDA yang melebihi had telah mendedahkan dana tersebut kepada risiko pelaburan saham siar harga melebihi daripada yang telah diluluskan dalam Manual Dasar dan Strategi Pelaburan Kumpulan FELDA. Ini boleh menjejaskan kemampuan kewangan dan memberi kesan kepada operasi serta aktiviti utama FELDA jika pelaburan yang dijalankan tidak dapat memberikan keuntungan yang dijangkakan.”

Pada masa yang sama, tindakan ini seolah-oleh memaksa peneroka FELDA untuk menanggung risiko pelaburan yang lebih tinggi, tanpa disedari peneroka FELDA.

FELDA ditubuhkan di bawah Ordinan Kemajuan Tanah 1956 pada 1 Julai 1956, dan telah dipinda kepada Akta Kemajuan Tanah 1956 (Akta 474) (Pindaan 1991). Objektif penubuhan FELDA adalah untuk memajukan kawasan pertanian secara produktif, melaksanakan projek pembangunan tanah dan menggalakkan pertumbuhan serta meningkatkan taraf hidup masyarakat peneroka.

Menurut Laporan Ketua Audit Negara, FELDA telah membuat pelaburan dalam pelbagai portfolio bagi mendapat pulangan yang optimum. Sehingga tahun 2010, FELDA telah membuat pelaburan bernilai RM5.55 bilion termasuk pelaburan dalam saham siar harga berjumlah RM891.34 juta.

Malah, pihak Audit mendapati dana daripada Akaun FELDA yang dilaburkan dalam pelaburan saham siar harga dan tidak siar harga telah melebihi had yang dibenarkan iaitu 24% seperti yang ditetapkan dalam Manual Dasar dan Strategi Pelaburan FELDA.

“Pelaburan dalam saham siar harga dan tidak siar harga yang menggunakan dana Akaun FELDA pada tahun 2010 adalah sejumlah RM3.14 bilion atau 68.5%, tahun 2009 sejumlah RM2.28 bilion atau 70.7% dan tahun 2008 sejumlah RM713.20 juta atau 31.8%,” menurut Laporan Ketua Audit.

Apa yang perlu diambil perhatian adalah, lebihan pelaburan adalah sebanyak 44.5% bagi tahun 2010, 46.7% bagi tahun 2009 dan 7.8% bagi tahun 2008.

Menurut agihan sumber dana pelaburan portfolio, dana dalam akaun FELDA hanya dibenarkan untuk melabur di Ekuiti Tempatan (24%), Ekuiti Asing (10%), Bon Kerajaan, Bon Korporat dan Sekuriti Hutang Persendirian termasuk Bon Islamik (6%), selain Tunai, Pasaran Wang dan Deposit Amanah (60%).

Sehingga akhir tahun 2010, FELDA telah melabur sejumlah RM891.34 juta dalam saham siar harga. Pelaburan yang dibuat daripada Akaun FELDA berjumlah RM355.42 juta atau 39.9% manakala sejumlah RM535.92 juta atau 60.1% daripada Akaun Peneroka.

Tiada ulasan: