Selasa, 22 November 2011

Empat individu fail saman tuntut perjanjian Spice tidak sah

FREE MALAYSIA TODAY

Saman itu difailkan terhadap 14 defendan terdiri Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng, 11 anggota exco kerajaan negeri, Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) dan Eco Meridian Sdn Bhd, melalui peguam M Thayalan pada 10.30 pagi tadi.

GEORGE TOWN: Empat individu memfailkan saman di Mahkamah Tinggi di sini hari ini bagi menuntut agar perjanjian projek Subterranean Penang International Convention and Exhibition Centre (SPICE) diisytiharkan batal dan tidak sah.

Saman itu difailkan terhadap 14 defendan terdiri Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng, 11 anggota exco kerajaan negeri, Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) dan Eco Meridian Sdn Bhd, melalui peguam M Thayalan pada 10.30 pagi tadi.

Plaintif iaitu Khoo Yen Her, Rama Krishnan a/l Rajagopal, Abdul Manan Abdul Manap dan Sathiasilan a/l Krishnan berkata mereka memfailkan saman itu bagi pihak diri mereka sendiri sebagai pembayar cukai dan mewakili semua pembayar cukai pintu dan tanah di kawasan MPPP.

Batal dan tidak sah

Dalam pernyataan tuntutan, mereka mahukan deklarasi bahawa arahan yang diberikan oleh pihak berkuasa negeri Pulau Pinang kepada MPPP secara
khusus untuk menandatangani perjanjian itu bercanggah dengan Seksyen 9(1) Akta Kerajaan Tempatan, 1976 dan dengan itu perjanjian berkenaan adalah batal dan tidak sah.

Mereka juga menuntut satu deklarasi bahawa peruntukan-peruntukan dalam perjanjian itu, di mana Eco Meridian Sdn Bhd berhak kepada tambahan ketumpatan sebanyak 1,500 unit perumahan untuk apa-apa pembangunan yang dijalankan di Pulau Pinang oleh syarikat yang ada hubungan dengan S P Setia Berhad adalah bercanggah dengan Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 khususnya Seksyen 21 dan 22 atau bercanggah dengan Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan, dan dengan itu peruntukan itu adalah batal dan tidak sah.

Plaintif juga menuntut deklarasi bahawa mereka berhak untuk mendapatkan salinan perjanjian bertarikh 19 Ogos 2011 itu antara MPPP dan Eco Meridian Sdn Bhd yang membolehkan syarikat itu membangunkan projek SPICE.

Mereka turut menuntut kos tindakan dibayar oleh defendan. Bernama

Tiada ulasan: