Ahad, 6 November 2011

Agrofest 2011: Selangor Perkasakan Pertanian

Oleh Hafizan Taib


SHAH ALAM : Pertanian di Selangor akan terus dimajukan menjadi salah satu bidang penting yang mampu menjana ekonomi negeri dan menjadikannya sebagai kerjaya yang menarik untuk diceburi.

Exco Pemodenan Pertanian, Pembangunan Usahawan dan Pengurusan Sumber Alam Negeri Selangor, Dr Yaakob Sapari berkata, kerajaan negeri akan berusaha memajukan pertanian kerana bidang itu adalah antara yang terpenting sebagai bidang penghasilan makanan kepada masyarakat.

Katannya, demi memastikan matlamat itu tercapai, kerajaan negeri akan menganjurkan Selangor Agrofest 2011 (SAF 2011) yang akan menghimpunkan golongan usahawan pertanian di Selangor bagi mempromosikan dan memasarkan produk pengeluaran mereka kepada orang ramai.

"Kita nak promosikan kita nak jadikan pertanian ini satu kerjaya yang baik. Saya dapati ramai anak muda graduan universiti memilih untuk menjadi petani dan mereka gembira dan pendapatan mereka juga baik," katanya dalam sidang media selepas Pra-Pelancaran Selangor Agrofest 2011 (SAF 2011) di sini hari ini.

Pada majlis itu, Dr Yaakob merasmikan pelancaran logo dan laman web SAF 2011.

Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sri Muda, Shuhaimi Shafiei dan Pengarah Jabatan Pertanian Selangor, Ahmad Zakaria Mohd Sidek.

SAF 2011 akan berlangsung pada 28 November hingga 4 Disember depan di perkarangan tempat letak kereta Stadium Malawati mensasarkan 4 juta pengunjung.

Tambahnya bidang pertanian perlu melalui proses perubahan kerana ia penting dalam memastikan masyarakat menikmati kehidupan yang lebih baik menerusi bakalan makanan yang mencukupi.

Kerajaan Negeri akan berusaha membantu petani meningkatkan pengeluaran supaya kekurangan bekalan makanan dapat dipertingkat ke tahap mencukupi pada masa depan.

"Pertamanya kita nak memastikan cukup bekalan makanan dan kita di Selangor akan cuba modenkan bidang pertanian ini.

"Bidang pertanian ini tidak cukup dengan pengeluaran. Ia mesti agro business, itu mesti ada. Kita gerakkan pengeluaran, pemprosesan dan pemasaran," katanya.

Dr Yaakob menyeru golongan petani agar merebut segala peluang disediakan bagi kemajuan memasarkan produk pengeluaran mereka.

Katanya, Kerajaan Negeri akan menjalankan pemantauan supaya golongan petani tidak ketinggalan dalam arus pemodenan di negara ini.


"Kita nak supaya pertanian ini mesti melalui proses perubahan lengkap daripada penyediaan tanah, pengeluaran, pemprosesan dan pemasaran. Kita juga ada seminar di mana kita inginkan para petani dan pengusaha kita bahawa produk mereka perlu dimajukan untuk pasaran dalam dan luar negara," katanya.

SAF 2011 memberi peluang kepada usahawan pertanian di Selangor berkumpul dan membuat promosi dan memasarkan prudok pengeluaran di samping mengikuti perkembangan terbaru di dalam bidang pertanian.

Majlis perasmian karnival dan penyampaian anugerah Usahawan Jaya akan disempurnakan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Tiada ulasan: