Ahad, 18 September 2011

Utusan: Mansuh ISA boleh rugikan politik orang Melayu, tapi jangan gundah

THE MALAYSIAN INSIDER

KUALA LUMPUR — Kumpulan Utusan, akhbar milik Umno yang sebelum ini mempertahankan dengan kuat Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), hari ini mendakwa usaha memansuhkan undang-undang itu boleh merugikan politik orang Melayu tetapi mereka tidak harus “gundah.”

Awang Selamat dalam ruangan Mingguan Malaysia juga mendakwa kerajaan sering dituduh tunduk kepada desakan politik kaum dan belum tentu usaha diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak Khamis lalu akan menguntungkan Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum ke-13.

“Ada juga hujah yang melihat tindakan memansuhkan ISA merugikan politik orang Melayu.

“Selain itu, kerajaan dituduh asyik tunduk kepada aspirasi politik kaum lain sedangkan tiada jaminan mereka akan melonjakkan sokongan kepada BN pada pilihan raya umum akan datang,” kata Awang Selamat dalam Mingguan Malaysia, akhbar edisi Ahad hari ini.

Bagaimanapun Awang Selamat menulis, baginya perkembangan terbaru ini mempunyai hikmah tersendiri dan orang Melayu “jangan terlalu gundah dengan pembaharuan.”

Katanya, pemansuhan ISA juga seharusnya mendorong orang Melayu lebih agresif dalam politik.

“Sejak kebelakangan ini, kaum bukan Melayu bukan sahaja bijak berpolitik malah lebih bersatu dan lantang.

“Suara minoriti menjadi seperti majoriti sehingga akhirnya mampu mencorakkan persekitaran baru politik tanah air,” katanya.

Awang Selamat juga mendakwa pemansuhan ISA dan beberapa perubahan lain termasuk pindaan kepada Akta Mesin Cetak adalah isyarat keterbukaan buat semua, bukannya kelompok atau kaum tertentu sahaja.

Ia menambah, “apa pun Najib terbukti komited melaksanakan transformasi politik menerusi pengumuman menjelang sambutan Hari Malaysia pada 16 September.”

“Ketika ketua pembangkang, Anwar Ibrahim dikenang dengan peristiwa 16 September iaitu isu bercakap bohong, Najib tunaikan janji untuk membawa Malaysia ke dimensi yang baru.

“Reaksi Anwar bahawa keputusan itu adalah hasil perjuangan beliau, sudah boleh dijangka,” kata Awang Selamat sambil menambah, “beliau akan manipulasi apa sahaja isu.”

Semalam Najib mengingatkan jangan mana-mana pihak mengambil kredit dengan pembaharuan yang dibawa ini.

Pakatan Rakyat yang melancarkan Buku Jingga Disember lalu menyenaraikan usaha memansuhkan ISA sebagai salah satu inisiatifnya.

Gerakan Mansuh ISA mengadakan perhimpunan antiakta itu Ogos 2009.

“Najib telah membuktikan keberaniannya untuk melakukan transformasi. Anwar pula asyik beretorik selain menjebak diri dengan isu moral yang serius,” katanya sambil menyindir, “malah untuk bersumpah laknat dan memberikan keterangan bersumpah di mahkamah, juga tidak berani.”

“Bagaimana mahu menggerakkan transformasi jika diri sendiri menyimpan ketakutan luar biasa?” katanya lagi.

Awang Selamat berkata apa yang dirintis oleh Najib kena pada masanya dan rakyat harus melihat ke hadapan dalam realiti baru dunia hari ini.

Katanya, lambat laun pembaharuan akan tetap berlaku dan negara tidak boleh selamanya berada di takuk lama.

“Era sekarang menuntut lebih keterbukaan dan kerajaan moden perlu cekap mengurus risiko tanpa bergantung kepada undang-undang seperti ISA,” katanya.

Dalam perutusan khas sempena Hari Malaysia Khamis lalu, Najib mengumumkan bahawa ISA akan dimansuhkan dan dua undang-undang baru yang sesuai akan digubal bagi memelihara keamanan, kesejahteraan, kesentosaan serta kerukunan hidup rakyat dan negara.

Dua undang-undang baru akan digubal di bawah “semangat serta payung” Perkara 149 Perlembagaan Persekutuan bagi mencegah perbuatan subversif, keganasan terancang dan perbuatan jenayah.

Perdana Menteri menegaskan bahawa undang-undang baru itu akan memperuntukkan tempoh tahanan polis yang lebih pendek daripada yang dijalankan pada masa ini.

Kerajaan juga menjamin bahawa mana-mana individu tidak akan ditahan semata-mata hanya kerana ideologi politik.

Perdana Menteri turut mengumumkan bahawa kerajaan memansuhkan Akta Buang Negeri 1959 di samping akan mengkaji semula beberapa undang-undang lain bagi memastikan ia memenuhi kehendak semasa.

Kajian semula komprehensif ini akan melibatkan Akta Kediaman Terhad 1933 dan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 di mana prinsip pembaharuan tahunan akan dihapuskan dan digantikan dengan pengeluaran lesen sehingga dibatalkan.

Kerajaan juga akan mengkaji semula Seksyen 27 Akta Polis 1967 dengan mengambil kira peruntukan Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan tentang kebebasan berhimpun dengan prinsip menentang sekeras-kerasnya demonstrasi jalanan.

Beliau juga berkata kebenaran berhimpun akan diberi selaras dengan kaedah-kaedah yang akan ditetapkan kelak dengan mengambil kira norma-norma di peringkat antarabangsa.

Tiada ulasan: