Selasa, 27 September 2011

Ugut Pakatan: DAP tuntut penjelasan dari The Star

Harakahdaily


KUALA LUMPUR: Sambil menegaskan bahawa Setiausaha Agongnya Lim Guan Eng (gambar) tidak pernah membuat ugutan terhadap Pakatan Rakyat kerana kontroversi hudud, DAP hari ini menuntut penjelasan daripada akhbar The Star milik MCA atas laporan palsu terhadap kenyataan yang dibuat Lim hujung minggu lalu.

Dalam satu surat terbukanya hari ini, setiausaha politik Lim, Zairil Khir Johari menegaskan bahawa Lim hanya berjanji “seluruh ahli jawatankuasa DAP akan meletak jawatan sekiranya ada sesiapa yang boleh membuktikan bahawa hudud akan dilaksanakan dalam Dasar Bersama Pakatan Rakyat atau Buku Jingga yang telah dipersembahkan kepada awam.”

Kata Zairil, pada 25 September akhbar The Star sememangnya melaporkan kenyataan Lim dengan betul dan tepat.

“Tapi, ini ditukar ke satu versi lain pada 26 September 2011 yang memberikan bayangan salah dan tidak tepat bahawa Lim telah mengugut perletakan jawatan seluruh jawatankuasa parti DAP daripada Pakatan Rakyat jika hukum hudud akan dijumpai dalam Dasar Bersama atau Buku Jingga,” kata Zairil.

Tajuk utama The Star pada 25 September “Guan Eng: DAP top leadership will quit if hudud law included in Pakatan policy” telah ditukar ke satu versi salah dan tidak tepat pada 26 September bertajuk “DAP leaders threaten to quit Pakatan council”, tambah Zairil.

“Ia adalah secara kategorinya tidak betul kerana Lim tidak pernah membuat ugutan untuk keluar daripada barisan kepimpinan Pakatan Rakyat atau Pakatan Rakyat secara amnya.

Apa yang Lim kata ialah seluruh jawatankuasa parti akan meletakkan jawatan untuk mengambil sikap bertanggungjawab jika hukum hudud dijumpai masuk ke dalam Dasar Bersama atau Buku Jingga,” tegas beliau.

Semalam, para Setiausaha Agung PAS, PKR dan DAP dikatakan sebulat suara mencapai kata sepakat untuk mengarahkan semua pimpinan parti masing-masing agar jangan mengeluarkan sebarang kenyataan mengenai hudud sehinggalah 28 September ini.

Arahan ini dikeluarkan berikutan pendiriaan bersama yang akan dibuat pimpinan Pakatan Rakyat 28 September nanti dalam mesyuarat mereka.

Tegas Setiausaha Agong PAS, Datuk Mustafa Ali, dakwaan yang mengatakan sebahagian pemimpin terutama dari DAP akan keluar dari Pakatan Rakyat sekiranya PAS dengan persetujuan PKR melaksanakan hukum hudud di Kelantan dan meneruskan agenda penubuhan negara Islam di negara ini, tidak berbangkit.

Sebaliknya, perkara itu sengaja dicetuskan oleh Umno dan akhbar milik parti itu, Utusan Malaysia untuk mencetuskan perselisihan dalam Pakatan Rakyat bagi kepentingan politik mereka.

“Para pemimpin Pakatan Rakyat cukup sedar perkara itu dan sehubungan itu mereka akan mengadakan mesyuarat khas bagi membincangkan perkara itu pada 28 September ini,” terang beliau dalam sidang media bersama dengan Setiausaha Agung PKR, Saifudin Nasution Ismail dan Ketua Pemuda DAP, Anthony Loke di Pejabat Agung PAS semalam.

Tiada ulasan: