Jumaat, 16 September 2011

Tutup kem Kamunting, bebaskan tahanan ISA – Jingga 13

KEADILAN DAILY

KUALA LUMPUR: Jingga 13, sebuah badan bukan kerajaan (NGO) mendesak kerajaan Umno Barisan Nasional (BN) segera menutup kem tahanan Kamunting, Perak dan membebaskan semua tahanan ISA tanpa syarat dan kembali ke pangkuan keluarga.

“Ia perlu bagi merealisasikan pemansuhan akta zalim itu,” kata Ketua Koordinator Jingga 13, Fariz Musa pada kenyataan media hari ini.

Beliau berkata demikian merujuk pengumuman Datuk Seri Najib Razak semalam yang bercadang untuk memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) sekali gus dilihat sebagai taktik terbaru Umno BN bagi meraih undi rakyat menjelang pilihan raya umum.

ISA adalah undang-undang peninggalan penjajah British sejak 1948 yang diwarta pada 1957 dengan nama Internal Security Act atau Akta Keselamatan Dalam Negeri – membolehkan seseorang ditahan tanpa bicara.

Fariz berkata, ISA sepatutnya sudah lama dimansuh lantaran ia kerap disalahgunakan kerajaan Malaysia untuk kepentingan politik Umno Barisan Nasional (BN).

Beliau mengalu-alukan pengumuman pemansuhan undang-undang drokanian itu walaupun ia sebenarnya menciplak salah satu daripada 10 janji program 100 Hari Pakatan Rakyat.

Fariz berharap undang-undang baru yang bakal diperkenal lebih adil dan saksama serta bukan diwujudkan bagi kepentingan pemimpin parti pemerintah semata-mata.

“Jingga 13 mengharapkan agar undang-undang baru yang bakal dilaksanakan adalah lebih adil dan saksama dalam membendung aktiviti pengganas dan subversif yang boleh mengancam keselamatan negara dan rakyat,” katanya.

Dalam pada itu, NGO itu turut mengucapkan Selamat Menyambut Hari Malaysia yang diilhamkan Pakatan Rakyat sebelum ditiru kerajaan Umno BN, kepada seluruh rakyat negara ini termasuk di Sabah dan Sarawak.

Tiada ulasan: