Sabtu, 10 September 2011

Teliti Semula Caj Perkhidmatan 'Call Block' Bukan Naikan Caj Kad Prabayar

Ditulis oleh Naeem Raffi


SHAH ALAM : Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) menggesa semua syarikat telekomunikasi (Telco) di Malaysia untuk mengemaskini caj perkhidmatan yang dikenakan kepada pengguna agar lebih relevan sebelum mengenakan caj perkhidmatan enam peratus bagi pembelian tambah nilai perkhidmatan prabayar dan pek permulaan kad SIM mulai 15 September ini.

Justeru, Setiausaha Agungnya, Muhammad Sha'ani Abdullah menyifatkan cukai perkhidmatan itu tidak wajar ketika syarikat-syarikat komunikasi mengaut keuntungan berbilion ringgit setahun.

Sebaliknya, beliau mahu Telco meneliti semula caj perkhidmatan 'call block' yang dikenakan selama ini kerana ia didakwa membebankan pengguna prabayar.

"Sebelum cukai (enam peratus) ini dikenakan kepada pengguna kad prabayar bagi pembelian tambah nilai perkhidmatan prabayar dan pek permulaan kad SIM, Telco seharusnya menukar kadar caj perkhidmatan yang dikenakan kepada perkhidmatan 'call block' iaitu tempoh caj penggunaan yang dikenakan kepada pengguna walaupun hanya beberapa saat ia digunakan," katanya memberitahu Tv Selangor.

Mengulas lanjut perkara tersebut, Shani berkata ia adalah situasi dimana pengguna berdepan dengan caj membebankan menerusi 'call block' apabila terpaksa membayar caj perhidmatan untuk 60 saat walaupun pengguna membuat panggilan kurang daripada tempoh itu.

"Ini bermakna sekirannya kadar caj 30 sen untuk seminit, 15 sen akan dikenakan untuk 30 saat. Jadi dalam situasi ini pengguna terpaksa membayar 15 sen untuk setiap perkhidmatan syarikat itu walaupun dalam tempoh kurang daripada 30 saat," jelasnya.

"Jadi caj ini perlu dikaji semula, dengan menggurangkannya kepada 1 hingga 2 saat pengguna tidak akan terbeban dan sekirannya cukai enam peratus itu dikenakan ia tidak akan dirasai oleh pengguna," katanya lagi.

Semalam, Syarikat telekomunikasi yang mengaut keuntungan berbilion ringgit setahun, mengumumkan akan mengenakan caj perkhidmatan enam peratus bagi pembelian tambah nilai perkhidmatan prabayar dan pek permulaan kad SIM mulai 15 September ini.

Ia bermaksud, seorang pelanggan yang membeli tambah nilai RM10 perlu membayar RM10.60, dengan 60 sen sebagai cukai perkhidmatan.

Pada masa yang sama, peneraju penyedia perkhidmatan komunikasi bersepadu Malaysia, MAXIS Berhad (Maxis) merekodkan keuntungan sebelum cukai sebanyak RM1.498 bilion untuk tempoh enam bulan berakhir 30 Jun 2011.

Ia meningkat berbanding RM1.485 bilion dalam tempoh sama tahun lalu.

Menurut laporan Bernama, pelanggan prabayar dimaklumkan melalui SMS bermula tengah hari semalam mengenai cukai perkhidmatan itu, berdasar kenyataan bersama yang dikeluarkan syarikat telekomunikasi Malaysia.

Syarikat telekomunikasi itu juga dilapor berkata, cukai perkhidmatan merupakan cukai penggunaan dan boleh dikenakan kepada pelanggan sebagaimana yang disediakan dalam perundangan cukai perkhidmatan.

Akta Cukai Perkhidmatan 1975 memerlukan syarikat telekomunikasi mengenakan levi cukai perkhidmatan pada kadar tertentu terhadap perkhidmatan telekomunikasi, termasuk perkhidmatan prabayar mudah alih.

Ia sama seperti cukai perkhidmatan yang dilevi terhadap pembelian makanan dan minuman daripada restoran dan hotel.


Tiada ulasan: