Sabtu, 10 September 2011

Tauliah: Jangan salahkan kami, kata Umno Selangor

THE MALAYSIAN INSIDER

KUALA LUMPUR— Umno Selangor menasihatkan Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad tidak menyalahkan parti itu kononnya berkonspirasi dalam tindakan dikenakan oleh Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) berhubung satu ceramah agama tanpa tauliah di sebuah surau di Klang bulan lalu.

Kes ke atas Khalid akan didengar November ini.

Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Selangor Datuk Seri Noh Omar berkata, tuduhan Khalid itu tidak sepatutnya dikeluarkan sebagai seorang pemimpin politik kerana ia menunjukkan sikap tidak matang Ahli Parlimen itu dan tidak menghormati undang-undang.

Beliau berkata, Khalid tidak seharusnya menuding jari kepada pihak lain apatah lagi Umno yang tidak ada kena-mengena dalam kes tersebut kerana mengadakan ceramah agama tanpa tauliah di masjid dan surau di negeri ini merupakan satu kesalahan dan ia termaktub dalam Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003.

“Beliau mahu mencari populariti murahan dengan membuat tuduhan sedemikian. Kenapa beliau dan pemimpin PAS lain mahu menggunakan masjid dan surau di Selangor untuk mengadakan ceramah, bercakap mengenai politik, dah tak ada tempat lain nak buat.

“Sultan Selangor sebelum ini telah menitahkan supaya masjid dan surau di negeri ini dijadikan gelanggang untuk berpolitik. Khalid adalah pemimpin politik di negeri ini, beliau sepatutnya menghormati titah Sultan Selangor, bukan menunjukkan sikap bodoh sombong dan tidak cerdik,” katanya dipetik Utusan Malaysia hari ini.

Laporan media sebelum ini memetik Khalid berkata, Jais sebagai sebuah badan yang tidak bebas manakala para pegawai yang menjalankan tugas berdasarkan Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003 itu mempunyai pemikiran jumud selain mengamalkan diskriminasi dan bersekongkol dengan Umno.

Pesuruhjaya PAS Selangor Dr Rani Osman juga mendakwa tindakan Jais itu bermotifkan politik menjelang pilihan raya umum ke-13.

Jais juga menarik balik tauliah yang diberikan kepada beliau. Dr Rani merupakan Adun Meru.

Noh yang juga Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani turut menempelak Khalid yang sebelum ini menyifatkan peraturan tauliah bagi mereka yang ingin mengajar, ceramah dan tazkirah mengenai agama Islam di surau dan masjid di negeri ini sebagai ketinggalan zaman.

Kata beliau, wakil rakyat itu sepatutnya sedar bahawa parti yang diwakilinya, PAS yang mentadbir kerajaan negeri ketika ini bersama-sama Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP.

Beliau berkata, sekiranya Khalid mengatakan peraturan itu sudah lapk, beliau sepatutnya mengemukan pandangannya kepada Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim atau Exco yang bertanggungjawab dalam hal ehwal agama Islam negeri, Datuk Dr. Hasan Ali sama ada ia perlu digubal atau tidak.

Tiada ulasan: