Selasa, 6 September 2011

Taib Mahmud akhirnya restu anak sulung sertai politik

THE MALAYSIAN INSIDER

MUKAH – Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Abdul Taib Mahmud memberi lampu hijau kepada anak sulung beliau Datuk Seri Mahmud Abu Bekir Taib, untuk menceburi bidang politik.

Dua hari lalu Taib berkata anaknya itu tidak memerlukan restu beliau menyertai politik.

Dalam ucapan pada majlis sambutan Aidilfitri di sini, Taib dipetik Bernama Online berkata, beliau tidak akan mencampuri urusan anaknya dalam bidang itu.

Bagaimanapun, kata beliau, sekiranya Mahmud Abu Baker ingin menjadi pemimpin yang baik, beliau perlu memiliki sifat sabar, ikhlas dan tekun.

“Jangan lupa membawa lebih banyak pembangunan ke Mukah, yang merupakan kampung halaman nenek moyang kamu,” kata Taib.

Baru-baru ini, tokoh korporat itu menyatakan hasratnya untuk bergiat aktif dalam politik.

Mahmud Abu Baker, yang menganggotai Parti Pesaka Bumiputera Bersatu – parti yang menjadi tulang belakang Barisan Nasional (BN) Sarawak sejak beliau berusia 19 tahun berkata, beliau akan mendapatkan restu bapanya sebelum menceburi bidang politik.

Taib tidak menyatakan kawasan yang akan ditandingi anaknya pada pilihan raya umum akan datang walaupun wujud spekulasi bahawa Mahmud Abu Baker akan menggantikan adiknya Datuk Seri Sulaiman untuk bertanding bagi kerusi Parlimen Kota Samarahan.

Sulaiman melepaskan jawatan timbalan menteri pusat Disember 2009. Beliau bertanding di Kota Samarahan pada 2008.

Tiada ulasan: