Jumaat, 23 September 2011

Saksi: Enjin F5 bukan untuk dilupuskan

MALAYSIA KINI


Mahkamah Sesyen Shah Alam hari ini diberitahu bahawa dua enjin pesawat F5 milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) "yang hilang" dua tahun lepas, bukan untuk dilupuskan kerana ia hanya mengalami kerosakan kecil.

Juruteknik di Airod Sdn Bhd (Airod), Omar Itam, berkata kedua-dua enjin pesawat yang masing-masing mempunyai nombor siri E227718 dan E227856 itu telah dihantar ke Matra 1 di Pangkalan Udara Kuala Lumpur untuk diperbaiki kerosakannya.

Omar, 52, saksi kedua pendakwaan dalam perbicaraan kes terhadap anggota TUDM Sjn N Tharmendran dan ahli perniagaan, K.Rajandran Prasad, yang menghadapi tuduhan bersubahat mencuri dan melupuskan kedua-dua enjin itu, berkata walaupun terdapat enjin pesawat F5 yang tidak dapat dibaiki dan perlu dilupuskan, beliau tidak terlibat dalam proses pelupusan itu.

Ketika dutanya oleh Timbalan Pendakwa Raya, Hamidi Mohd Noh, mengenai cara untuk membezakan enjin pesawat F5, Omar berkata: "Setiap enjin pesawat F5 mempunyai nombor siri yang berbeza dan dengan melihat nombor siri yang terdapat pada enjin berkenaan kita dapat membezakannya."

Seorang lagi saksi, Hilal Mohd Yusof, 54, yang juga juruteknik di Airod, berkata beliau merupakan orang terakhir yang melihat kedua-dua enjin pesawat F5 itu dimasukkan ke dalam kontena sebelum dihantar ke Matra 1.

Hilal berkata enjin pesawat F5 bernombor siri E227718 sampai di Airod pada 12 April 2007 dan pembungkusannya siap dilakukan pada 21 Jun 2007 tetapi beliau tidak ingat bila enjin pesawat F5 yang mempunyai nombor siri E227856 sampai di Airod, tetapi pembungkusan enjin itu dilakukan pada 25 September 2009.

"Saya yang mengendalikan kren untuk mengangkat enjin dan turut memastikan nombor siri yang tertera pada enjin adalah sama dengan label yang diletakkan pada kontena.

"Semasa menurunkan penutup kontena itu, saya akan memastikan enjin berada dalam keadaan baik dan proses pembungkusan enjin itu turut dibantu oleh juruteknik Omar dan Osman Abdullah," katanya ketika pemeriksaan utama oleh Hamidi.

Ketika disoal peguam Rajpal Singh, peguam yang mewakili Tharmendran, bagaiman beliau tahu mengenai kehilangan kedua-dua enjin pesawat berkenaan, Hilal berkata: "Saya tahu mengenainya selepas dipanggil untuk perbicaraan dan itupun selepas digembar-gemburkan oleh pihak TUDM."

Pada 6 Jan tahun lepas, Tharmendran, mengaku tidak bersalah terhadap tuduhan bersubahat dengan Laskar Udara Mohamad Shukri Mohamad Yusop, mencuri dua enjin pesawat F5 jenis J85-21 di Pangkalan Udara TUDM Sungai Besi pada 30 April 2008.

Dia didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 109 kanun yang sama, yang membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda jika sabit kesalahan.

Rajandran Prasad, pengarah sebuah syarikat pembekalan, turut mengaku tidak bersalah pada tarikh yang sama terhadap tuduhan melupuskan dua enjin TUDM itu di alamat 49 Jalan TS 6/6, Taman Industri Subang, pada 30 April 2008.

Rajandran Prasad, yang diwakili peguam Gobind Singh Deo, didakwa mengikut Seksyen 414 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan denda jika sabit kesalahan.

Pada 20 Ogos lalu, Tharmendran turut mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan melibatkan pengubahan wang haram RM62,000, manakala Rajandran Prasad mengaku tidak bersalah terhadap lima pertuduhan serupa melibatkan RM437,319.50.

Perbicaraan di hadapan Hakim Aslam Zainuddin disambung 10 Oktober ini.-- Bernama

Tiada ulasan: