Selasa, 27 September 2011

Piket: MTUC tak wajar bangkit bantahan sekarang, kata Putrajaya


KUALA LUMPUR – Kementerian Sumber Manusia mengingatkan Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) yang bercadang mengadakan tindakan berpiket 3 Oktober ini tidak wajar membangkitkan bantahan mereka di “saat pembentangan di Parlimen.”

“Kementerian ingin menegaskan bahawa sebelum pindaan ini dibawa ke Parlimen untuk dibentangkan, semua cadangan pindaan ini telah melalui proses konsultasi bersama wakil-wakil pertubuhan majikan dan kesatuan sekerja.

“Sebanyak 18 kali sejak awal tahun 2010 lagi. Selain itu, draf cadangan pindaan turut telah dipanjangkan untuk pandangan dan maklum balas daripada wakil majikan dan pekerja. Justeru, pindaan ini tidak dibuat secara tergesa-gesa kerana telah melalui proses konsultasi yang komprehensif bersama pihak-pihak yang berkepentingan,” kata Kementerian Sumber Manusia dalam satu kenyataan dikeluarkan lewat petang ini.

Sehubungan itu, kata kementerian, adalah diharapkan cadangan pindaan ini akan mendapat sokongan daripada semua pihak demi memelihara kebajikan pekerja dan menjamin keharmonian perhubungan perusahaan.

Kenyataan itu dikeluarkan mengulas laporan The Malaysian Insider semalam dan hari ini memetik Setiausaha Agung MTUC Abdul Halim Mansor berkata mereka akan berpiket pada hari pertama sidang Parlimen bulan depan jika Putrajaya meneruskan perbahasan rang undang-undang buruh tanpa perbincangan di majlis melibatkan tiga pihak.

Pendirian itu diputuskan pada mesyuarat majlis am MTUC kelmarin. Sesi baru Parlimen bermula 3 Oktober ini dan akan berlarutan sehingga pertengahan Disember.

“Jika benar kerajaan meneruskan perbahasan mana-mana rang undang-undang buruh, khususnya Rang Undang-undang Kerja (Pindaan) 2010, MTUC akan mengadakan piket di kawasan Parlimen pada hari pertama persidangan,” kata Halim .

Bacaan kali kedua Rang Undang-undang Kerja telah ditangguhkan dua kali sebelum ini.

Antara lain Rang Undang-undang Kerja didakwa merugikan kaum pekerja kerana jika diluluskan akan membolehkan sistem kontraktor pekerja, yang pernah digunakan sebelum negara merdeka, diamalkan kembali. MTUC mendakwa ia akan merugikan pekerja dari segi kebajikan mereka dan menjejaskan masa depan pergerakan kesatuan sekerja di negara ini.

Halim berkata dalam pertemuan dengan Menteri Sumber Manusia Datuk Dr S Subramaniam sebelum ini MTUC telah diberi jaminan bahawa rang undang-undang buruh termasuk Rang Undang-undang Kerja tidak akan dibawa ke Parlimen tanpa perbincangan selanjutnya dalam Majlis Penasihat Buruh Kebangsaan (NLAC), yang hanya diaktifkan minggu lalu.

NLAC merupakan majlis dianggotai kerajaan, majikan dan pekerja.

Selain peruntukan berkenaan sistem kontraktor sosial, MTUC mahu kerajaan memasukkan cuti bersalin 90 hari dan menaikkan had kerja lebih masa sehingga 130 jam sebulan.

Difahamkan kementeria juga sedang mengkaji pindaan ke atas Akta Perhubungan Perusahaan dan Akta Kesatuan Pekerja.

Kenyataan kementerian juga menjelaskan bahawa pindaan Akta Kerja 1955 yang digubal adalah bermatlamat bagi memenuhi keperluan dan perubahan semasa terutamanya dari segi memantapkan penguatkuasaan undang-undang dalam menyediakan suasana perburuhan yang lebih kondusif.

Antara pindaan-pindaan yang telah dicadangkan adalah mewujudkan takrifan kontraktor tenaga kerja bagi memperjelaskan hubungan prinsipal, kontraktor dan subkontraktor yang membekalkan tenaga kerja, memasukkan peruntukan khas bagi menangani gangguan seksual di tempat kerja, tempoh bayaran untuk kerja lebih masa, kerja pada hari rehat serta kerja pada cuti umum, bayaran upah pekerja termasuk pembantu rumah melalui akaun bank dan faedah cuti bersalin kepada semua pekerja wanita.

Katanya, pada sesi Parlimen 8 Julai 2010, Rang Undang-undang Kerja telah dibentangkan bagi bacaan kali pertama.

Bagaimanapun katanya, ia telah ditarik balik dalam sesi Parlimen pada 12 Oktober lalu bagi mengambil kira pandangan saat akhir daripada pelbagai pihak termasuk MTUC mengenai pentakrifan subkontraktor untuk tenaga kerja kepada kontraktor bagi tenaga kerja di bawah Seksyen 2 Akta Kerja 1955.

“Pindaan takrifan ini adalah disokong oleh Kesatuan Kebangaan Pekerja-pekerja Perladangan (NUPW) yang mana amalan membekalkan pekerja oleh kontraktor tenaga kerja memang sedia berlaku sejak dahulu sehingga kini terutama di sektor perladangan.

“Malahan amalan kontraktor tenaga kerja ini merupakan fenomena global dan Malaysia tidak terkecuali,” kata kementerian sambil menambah, “justeru, takrifan kontraktor tenaga kerja bukanlah suatu cadangan yang baru.”

Katanya, cadangan pindaan ini tidak sekali-kali menggambarkan hasrat Kerajaan untuk kembali kepada sistem lama tetapi lebih kepada transformasi pengurusan kontraktor tenaga kerja.

“Oleh yang demikian, tidak timbul isu menjejaskan ‘security of tenure’, menggalakkan kontraktor tenaga kerja atau menjejaskan masa depan pergerakan kesatuan sekerja di negara ini,” katanya lagi.

Sehubungan itu kata Kementerian Sumber Manusia, pihaknya telah mengadakan enam siri perbincangan bersama wakil majikan dan pekerja khususnya MTUC dan telah mengemas kini rang undang-undang dengan membuat beberapa pindaan berdasarkan pandangan dan maklum balas yang dikemukakan termasuk menggugurkan cadangan pindaan terhadap definisi majikan yang merangkumi kontraktor tenaga kerja yang mana telah mendapat bantahan daripada MTUC.

“Kementerian turut mengadakan dua siri perbincangan khusus berkenaan isu kontraktor tenaga kerja pada 4 Ogos 2011 dan 22 Ogos 2011 serta telah memohon maklum balas secara bertulis daripada wakil majikan dan pekerja terhadap isu tersebut.

“Bagaimanapun, sehingga kini pihak kementerian hanya menerima maklum balas daripada NUPW yang menyatakan sokongan penuh terhadap cadangan pindaan ini. Pihak MTUC masih belum mengemukakan sebarang maklum balas bertulis walaupun telah bersetuju berbuat demikian semasa mesyuarat pada 22 Ogos 2011,” katanya lagi.

Berhubung isu wanita kerja malam, kerja lebih masa, kerja pada hari rehat, kata kementerian, ia cadangan pindaan bagi fasa seterusnya yang telah dicadangkan oleh Makmal Inisiatif Pembaharuan Strategik - Pembangunan Modal Insan.

“Cadangan-cadangan pindaan ini masih belum dimuktamadkan. Sehubungan itu, ianya tidak perlu dibangkitkan pada peringkat ini,” kata kementerian.

Ia menambah, walaupun isu takrifan kontraktor tenaga kerja ini tidak dibincangkan dalam mesyuarat NLAC, kementerian masih mengamalkan prinsip tripartisme dengan membincangkan isu ini secara terperinci menerusi mesyuarat-mesyuarat Jawatankuasa Teknikal yang disertai oleh wakil majikan dan pekerja.

Tiada ulasan: