Isnin, 5 September 2011

Perlu tingkatkan keselamatan media


SINAR HARIAN


SHAH ALAM - Kejadian yang menimpa Noramfaizul dan wartawan TV3, Aji Saregar Mazlan, 26, perlu dijadikan iktibar agar mereka yang terlibat dengan penugasan berisiko meningkatkan tahap keselamatan ketika menjalan tugas.

Ketua Pegawai Eksekutif Institut Akhbar Malaysia (MPI), Datuk Chamil Wariya berkata, persiapan keselamatan dalam semua aspek perlu dititik beratkan terutamanya di tempat berisiko tinggi.

Beliau berkata, baju kalis peluru antara keperluan yang harus dibekalkan kepada wartawan supaya kejadian sedemikian tidak berlaku.

“Walaupun mereka tahu niat kita murni dan kedata-ngan kita disambut baik, tetapi soal keselamatan tidak boleh dipertaruhkan.

“Ketika berada di kawasan asing, kita perlu lebih berwaspada kerana tidak tahu siapa kawan dan di mana musuh. Perkara ini penting agar kita selamat pergi dan pulang bersama misi kemanusiaan dibawa,” katanya.

Chamil percaya, kedua-dua agensi berita tersebut telah menyediakan kemudahan insurans kepada mangsa terlibat sebagai pengorbanan ditanggung.

Menceritakan pengalamannya semasa menjawat Pengurus Besar Divisyen Berita dan Hal Ehwal Semasa TV3 bermula 1998 hingga 2007, katanya, wartawan yang hendak ke luar negeri terutama negara bergolak tidak dipaksa sebaliknya melakukan tugas dengan sukarela.
“Bagaimanapun, kejadian kelmarin saya percaya tidak mematah semangat wartawan untuk melaporkan peristiwa sebenar di luar negara,” katanya.

Sementara itu, penerima Anugerah Tokoh Wartawan Cemerlang Negara 2010, Abd Jalil Ali berkata, kejadian menimpa Noramfaizul itu antara harga yang terpaksa dibayar jika menjadi seorang pengamal media.

“Arwah (Noramfaizul) telah menjalankan amanahnya dengan baik seperti mana dikehendaki syarikat beliau Sebagai rakan media saya sa-ngat berbangga dengan beliau yang sanggup menghadapi risiko untuk ke sana,” katanya.

Beliau berkata, mana-mana media yang mahu membuat liputan ke luar negara akan dilindungi insurans, namun kebanyakan pengamal media tidak mengambil kira perkara itu kerana lebih mementingkan tugas.

Tiada ulasan: