Khamis, 15 September 2011

Perkasa: ‘Melayu dijajah 400 tahun, tindakan afirmatif dua dekad DEB mana cukup’


KUALA LUMPUR— Presiden Perkasa Datuk Ibrahim Ali menegaskan orang Melayu dan Bumiputera telah dijajah lebih 400 tahun dan oleh itu, tidak mungkin boleh maju dalam dua dekad sejak Dasar Ekonomi Baru (DEB) dilaksanakan.

Tempoh 20 tahun DEB berakhir 1990 dan matlamat dasar itu diteruskan menerusi dasar-dasar susulan sejak itu.

Sehubungan itu kata beliau, orang Melayu dan Bumiputera sewajarnya diberi masa dengan menganggap bahawa tempoh DEB antara 1970 hingga 1990 sebagai fasa pertama dan era selepas 1990 sebagai “fasa kedua.”

“Harus diingat bahawa Melayu dan Bumiputera telah dijajah lebih 400 tahun. DEB hanya dilaksanakan dari 1970 hingga 1990.

“Mana mungkin (kaum yang) dijajah 400 lebih boleh maju, berjaya dalam tempoh 20 tahun dan waktu DEB dilancar dan dilaksanakan, orang Melayu dan Bumiputera belum bersedia dan serba kekurangan,” kata Ibrahim dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini.

Ibrahim (gambar) menggunakan rujukan dijajah dengan tempoh pelaksanaan memajukan orang Melayu dan Bumiputera ketika negara berhadapan dengan polemik sama ada Tanah Melayu benar-benar dijajah oleh British dan kuasa asing.

Beberapa profesor membuat kenyataan bahawa negara ini tidak pernah dijajah, sebaliknya hanya menjadi naungan British.

Ada pihak yang tidak bersetuju dengan pandangan itu tetapi ada yang menerimanya.

Esok, negara akan menyambut Hari Malaysia buat julung kali.

Apa pun dasar, kata beliau, pada hemat Perkasa, mesti “diingat, jika gagal, jangan salahkan usahawan Melayu semata-mata, tetapi kelemahan kepimpinan kerajaan juga mesti bertanggungjawab.”

“Umat Melayu Islam dan Bumiputera tidak akan maaf kerana hak Melayu dan Bumiputera dijamin dalam Perlembagaan Persekutuan di bawah Fasal I53 iaitu hak keistimewaan Melayu,” kata Ibrahim yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas.

Bagaimanapun Ibrahim menyindir bahawa “cakap Perlembagaan tidak boleh disentuh, dipinda tetapi apa guna kalau tidak diguna dan dilaksanakan . . . ingatlah wahai semua pemimpin Melayu khususnya sebelum anak cucu kencing atas kubur nanti.”

Ibrahim berkata, Perkasa mengalu-alukan jaminan Putrajaya bahawa pendekatan afirmatif untuk membantu Bumiputera yang diperkenalkan menerusi DEB akan diteruskan tetapi berubah menjadi lebih mesra pasaran dan berdasarkan merit.

“Tapi Perkasa ingin menarik perhatian Perdana Menteri dan kerajaan supaya ada juga tindakan afirmatif untuk membantu syarikat-syarikat Bumiputera yang bermasalah secara berterusan terutama syarikat-syarikat yang menghadapi tekanan ekonomi semasa dan dunia,” katanya.

Sehubungan itu tambah Ibrahim, sejak kebelakangan ini syarikat-syarikat kerajaan pun banyak yang gagal dan rugi tetapi diselamatkan oleh kerajaan dan melibatkan berbilion ringgit.

“Jika pasaran dan merit dijadikan asas sahaja, tidak wajar kerana rangkaian ekonomi negara dikuasai oleh satu kaum . . . panjang boleh berhujah,” katanya.

Kelmarin, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata tindakan afirmatif untuk membantu Bumiputera, yang diperkenal di bawah DEB kekal tetapi berubah menjadi lebih mesra pasaran dan berdasarkan merit.

Najib yang juga Menteri Kewangan berkata, strategi kerajaan sekarang yang mewujudkan lebih banyak peluang bagi Bumiputera, tanpa mengenakan kuota ke atas kaum lain, juga menarik bukan Bumiputera.

“Apa yang kita dapati ialah cara ini (tindakan afirmatif di bawah DEB), pertamanya, ia tidak popular dengan pasaran; dan keduanya, tidak benar-benar membantu Bumiputera.

“Apa yang cuba kita lakukan sekarang ialah mengubahnya; tindakan afirmatif kekal, tetapi ia harus lebih mesra pasaran dan harus lebih berdasarkan merit,” kata Najib demikian ketika berkongsi pandangannya tentang prestasi dan cabaran-cabaran yang dihadapi negara ini sejak beliau mengambil alih pucuk pimpinan pada 2009.

Tiada ulasan: